Kerajaan Wajar Perluas Bantuan Tenaga Solar Ringankan Beban Rakyat – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam bahawa kerajaan akan meneliti langkah mitigasi bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan bil elektrik.

Namun, katanya, rakyat memerlukan penyelesaian yang berkesan untuk jangka panjang dan kerajaan wajar membantu lebih banyak isi rumah beralih kepada tenaga solar supaya mereka berpeluang mengurangkan bil elektrik secara berterusan.

“Sehubungan itu, kami mencadangkan dua langkah.

“Pertama, berikan insentif kepada syarikat dalam industri solar bagi menggalakkan lebih banyak penyedia menawarkan perkhidmatan pemasangan. Persaingan yang sihat dapat membantu menurunkan harga dan menjadikan pemasangan solar lebih mampu milik.

“Kedua, berikan rebat kerajaan kepada isi rumah yang memasang sistem solar. Rebat ini dapat mengurangkan kos pemasangan awal, yang sering menjadi halangan utama kepada rakyat untuk menggunakannya,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.

Menurut beliau, jika kerajaan terus bergantung pada bantuan untuk menampung kenaikan kos penjanaan elektrik, beban kewangan negara boleh meningkat apabila harga bahan api naik.

“Pelaburan untuk membantu rakyat menggunakan tenaga solar pula berpotensi mengurangkan kebergantungan isi rumah kepada bekalan elektrik daripada grid dalam jangka panjang.

“Sudah tiba masanya kerajaan menjadikan tenaga solar pilihan yang mampu dicapai oleh rakyat. Ringankan bil mereka hari ini, dan berikan mereka jalan untuk menjimatkan kos elektrik pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO