UMNO Kedah Bayang Kerjasama Hasil Pertemuan Tidak Rasmi Dengan Sanusi

ALOR SETAR, 16 September – UMNO Kedah sudah ada bayangan awal kerjasama yang bakal dijalin dengan PAS Kedah, hasil pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor semalam.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pertemuan ‘santai minum petang’ itu disifatkan sangat positif.

“UMNO Kedah mengadakan kunjungan ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah hari ini (selasa) untuk pertemuan secara tidak rasmi dan saya sifatkan pertemuan itu sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Tambahnya, UMNO Kedah juga mendapat bayangan bagaimana untuk meletakkan perundingan antara kedua-dua parti tersebut di meja rundingan jika bergerak bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

“Saya berjumpa dengan MB Sanusi bersama tiga orang iaitu Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.”

“Kami bagaimanapun tidak berbincang sebarang topik mengenai pembahagian kerusi pilihan raya kerana itu terlalu awal untuk dibincangkan. Lagipun pertemuan itu bukannya secara rasmi.”

Mahdzir sebelum ini bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Kuala Lumpur Jumaat lalu, menyatakan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS Kedah sebaik berakhirnya PAU 2026.

Selepas pertemuan tidak rasmi itu, Mahdzir bagaimanapun tidak memberikan sebarang bayangan bila pertemuan dan perbincangan rasmi bersama pimpinan PAS Kedah akan diadakan.

“Saya akan maklumkan juga kepada pihak kepimpinan tertinggi UMNO di peringkat Pusat berkaitan pertemuan tidak rasmi dengan pimpinan PAS Kedah hari ini dan langkah seterusnya akan kita susun selepas ini kerana apa sekalipun keputusan yang hendak dibuat, akan diputuskan di peringkat tertinggi kedua-dua parti,” jelas Mahdzir. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO