Azalina Sertai Kayuhan Fashionista Sempena Hari Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi merangkap Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said bersama warga Kluster Undang-Undang dan Reformasi Institusi menyertai Program Kayuhan Fashionista: Bulan Kebangsaan sempena sambutan Hari Malaysia.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pertandingan pakaian tradisional dan permainan tradisional, sekali gus menyediakan ruang untuk warga jabatan serta agensi di bawah kluster berkenaan beriadah dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Azalina berkata, program seumpama itu bukan sekadar memberi peluang untuk beriadah dan bergembira bersama, malah penting dalam membina keserasian, saling mengenali serta memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga kluster.

Menurut beliau, dalam kesibukan melaksanakan amanah masing-masing, hubungan yang baik antara jabatan dan agensi perlu terus dipupuk bagi memastikan mereka dapat bergerak sebagai satu pasukan.

“Semangat kebersamaan ini juga mencerminkan makna Hari Malaysia itu sendiri; bahawa walaupun kita datang daripada latar belakang, peranan dan tempat yang berbeza, kita tetap bergerak bersama sebagai satu keluarga besar demi negara yang tercinta,” katanya dalam hantaran sempena Hari Malaysia.

Dalam hantaran terdahulu, Azalina turut mengajak rakyat Malaysia menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai kesempatan untuk memperbaharui tekad dalam menjaga kepercayaan antara satu sama lain serta menghormati perbezaan.

Beliau berkata, setiap rakyat perlu merasakan bahawa mereka mempunyai tempat yang sama penting dalam perjalanan negara.

“Semoga kita terus membina sebuah negara yang adil, makmur dan teguh, dengan semangat bahawa masa depan Malaysia adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO