Enam Daerah Johor Terima Manfaat Lampu Jalan Kampung Solar

ISKANDAR PUTERI, 17 Sept – Kerajaan Negeri Johor meneruskan usaha memperkukuh kemudahan asas dan aspek keselamatan penduduk luar bandar menerusi Inisiatif Lampu Jalan Kampung (LJK) Solar Fasa 1 Tahun 2026 dengan pemasangan 3,833 unit lampu jalan kampung di enam daerah tumpuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Haji Md Israk Abdullah, berkata pemasangan berkenaan dilaksanakan sepanjang September hingga November 2026, melibatkan Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Tangkak dan Muar.

Menurut beliau, daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 3,333 unit Lampu Jalan Kampung Solar Fasa 1 dilaksanakan menerusi peruntukan RM10 juta Kerajaan Negeri Johor, manakala 500 unit tambahan dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau pelaksanaan inisiatif berkenaan di Kampung Mensudut Lama dan Kampung Gelang Chinchin, Segamat, baru-baru ini.

“Saya melihat sendiri proses pelaksanaan di lapangan, bermula daripada kerja-kerja penggalian, pemasangan tiang sehinggalah pemasangan lampu solar.”

Menurut Md Israk, inisiatif itu mengambil kira keperluan serta maklum balas masyarakat, khususnya berkaitan keadaan jalan kampung yang kurang pencahayaan pada waktu malam.

Katanya, pemasangan lampu solar bukan sahaja memberi pencahayaan kepada kawasan kampung, malah dapat menyokong aspek keselamatan, keselesaan dan pergerakan penduduk, terutama pada waktu malam.

Beliau berkata isu yang dibangkitkan masyarakat turut dibawa untuk dibincangkan melalui Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) sebelum diterjemahkan kepada pelaksanaan di lapangan.

“Ini merupakan fasa pertama yang sedang dilaksanakan. Insya-Allah, usaha ini akan terus diperluaskan secara berfasa supaya lebih ramai Bangsa Johor di kawasan yang memerlukan dapat menerima manfaatnya,” katanya.

Kerajaan Negeri Johor turut menegaskan komitmen untuk memastikan pembangunan dan kemudahan asas dilaksanakan secara menyeluruh berdasarkan keperluan setempat demi manfaat penduduk luar bandar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO