UMNO Sabah Tegas Pertahan Keharmonian Dan Sensitiviti Agama

KOTA KINABALU, 15 Sept – UMNO Sabah menegaskan komitmennya untuk mempertahankan keharmonian masyarakat serta memastikan sensitiviti agama sentiasa dihormati oleh semua pihak.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, perkara yang menyentuh agama tidak sewajarnya dijadikan bahan gurauan, sindiran mahupun digunakan untuk kepentingan politik.

“Sensitiviti berkaitan agama hendaklah sentiasa dihormati dan dipelihara oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan, fahaman atau latar belakang politik,” katanya daam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan komitmen UMNO Sabah yang sentiasa menghormati kepelbagaian agama, kaum, budaya dan kepercayaan yang menjadi asas keharmonian masyarakat di negeri Sabah.

Menurutnya, kepelbagaian tersebut merupakan kekuatan dan aset penting negeri yang telah sekian lama membentuk kehidupan masyarakat Sabah dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati.

Dalam masa sama, UMNO Sabah mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh jurucakap UMNO Bahagian Sepang semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Nik Mohd Nadzri menegaskan bahawa kenyataan berkenaan merupakan pandangan pihak tersebut dan tidak mencerminkan pendirian rasmi serta suara UMNO Sabah.

Beliau turut berpandangan bahawa kesediaan untuk mengakui kekhilafan serta memohon maaf merupakan cerminan kematangan, kebertanggungjawaban dan integriti dalam kepimpinan.

“Dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat, keharmonian masyarakat serta perpaduan hendaklah sentiasa mengatasi kepentingan peribadi dan politik,” katanya.

Sehubungan itu, UMNO Sabah menyeru semua pihak, khususnya para pemimpin dan ahli parti, supaya sentiasa berhati-hati serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, terutama yang melibatkan sensitiviti agama, kaum
dan budaya.

Nik Mohd Nadzri berkata setiap tindakan dan kenyataan hendaklah mengambil kira kesannya terhadap keharmonian masyarakat serta hubungan antara rakyat yang berbilang latar belakang.

“UMNO Sabah kekal teguh dan komited dalam memelihara hubungan baik antara kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata UMNO Sabah akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan, menyuburkan semangat saling menghormati serta mempertahankan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan rakyat Sabah demi memastikan negeri itu terus aman, stabil dan makmur. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO