Kritik Individu, Jangan Serang Institusi UMNO – Fariz Hazurin
KUALA LUMPUR, 17 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail menolak sebarang cubaan untuk menjadikan UMNO sebagai ‘kambing hitam’ atas kelemahan atau kegagalan individu tertentu dalam pentadbiran kerajaan.
Tegasnya, sebarang kritikan tidak seharusnya dilemparkan terhadap institusi UMNO secara membuta tuli hanya kerana kelemahan atau tindakan segelintir individu.
“Jangan kerana kelemahan individu, institusi UMNO pula yang mahu dihukum. Kalau ada individu yang bermasalah, kritik individu tersebut. Jangan serang parti yang sudah terbukti berjasa kepada negara.
“UMNO telah melahirkan begitu ramai pemimpin. Malah, ramai pemimpin hari ini datang daripada ‘kilang’ UMNO yang membentuk dan melatih kepimpinan negara.
“UMNO boleh ditegur, UMNO boleh bermuhasabah, tetapi jangan sesekali memadam jasa dan sejarah parti hanya kerana kelemahan individu. Kalau mahu menghukum, hukumlah yang bersalah. Jangan hukum seluruh institusi kerana kesilapan segelintir,” katanya.
Mengulas lanjut kata Fariz Hazurin, UMNO tidak perlu diajar mengenai soal pentadbiran negara kerana parti itu telah melalui pengalaman panjang mengurus ekonomi, pembangunan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan rakyat.
“Kita jangan buat-buat lupa sejarah. UMNO sudah terbukti berpuluh tahun mentadbir negara. Negara berjalan, pembangunan bergerak dan rakyat menerima manfaat.
“Jangan hanya kerana hari ini ada masalah, kita mahu padam begitu sahaja segala jasa dan pengalaman puluhan tahun UMNO,” tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang urut menegaskan bahawa UMNO perlu kembali menjadi parti yang dominan dan peneraju utama kerajaan agar kuasa pentadbiran dapat digunakan sepenuhnya untuk mengembalikan manfaat serta dividen pembangunan kepada rakyat.
“Kita mahu UMNO kembali menerajui Malaysia. Bukan sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan, bukan sekadar menyokong dari belakang, tetapi menjadi ketua pentadbir negara dan menerajui kerajaan dengan mandat yang jelas.
“Sudah sampai masanya UMNO kembali memimpin, kembali dominan dan kembali menentukan hala tuju Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online
