11 Mei Saksi UMNO Bangkit Dari Trauma Kekalahan PRU-14, Juga Lambang Kegagalan PH


LEDANG, 30 April – Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri berkata, hari ulang tahun UMNO yang bakal berlangsung pada 11 Mei akan datang menjadi saksi kebangkitan parti keramat ini dari trauma kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Jelas beliau, atas kesedaran perjuangan ‘A Ba Ta’ maka UMNO terus bangkit demi perjuangan membela nasib rakyat.

“UMNO sebenarnya tiada pilihan kerana perjuangan ‘A Ba Ta’ tidak boleh luntur terutama tiga perkara pokok ini gagal diperjuangankan oleh gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Ini jelas dapat kita lihat, menjelang setahun pemerintahan PH, terlalu banyak perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat. Kita juga dapat lihat Islam dihina, Melayu dibuli tetapi pembelaan tegas tiada.

“Sekarang ini, status agama pula hendak dilucutkan dari kad pengenalan. Adakah ini yang rakyat harapkan dari kepimpinan PH? Sejak mula mengambil alih tampuk pimpinan negara sehinggalah ke hari ini, tidak ada satupun perkara yang mereka lakukan demi rakyat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Hamim, selain 11 Mei menjadi tarikh azimat untuk UMNO, ia juga sebagai lambang kegagalan kerajaan PH.

“Baru nak masuk setahun mengambil alih tampuk pimpinan, rakyat sudah menyampah dan mahu kembali menjadikan BN sebagai kerajaan. Tidak ada satupun kejayaan PH yang boleh dibanggakan, mereka hanya pandai ‘salin kulit’ dan terus menabur fitnah dan menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Janji manifesto tinggal janji. Maka tidak hairanlah rakyat menggambarkan kerajaan baru ini sebagai kerajaan sepenggal,” jelas beliau.

Justeru, beliau menyeru kepada semua ahli UMNO agar terus bersatu, rapatkan saf dan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti demi memastikan parti keramat ini kembali mendapat tempat di hati rakyat.

“Kita jadikan 11 Mei sebagai titik permulaan untuk kita terus pandang ke hadapan dan jangan lagi berduka. Setahun sudah berlalu, kini masa kita bangkit… abaikan mereka yang lari meninggalkan perjuangan.

“Saya yakin, UMNO dan BN akan terus utuh dan kembali menjadi kerajaan,” tegas beliau seterusnya. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit