PRU-16 Perlu Disegerakan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) perlu disegerakan kerana ia merupakan kehendak rakyat ketika ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, PRU-16 adalah detik penentuan bagi UMNO mendapatkan semula mandat bagi menerajui kepimpinan negara, bersama rakan-rakan lain bagi melakar kejayaan.

Jelasnya juga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah menjadi satu pengajaran buat parti dan kemenangan di Johor pula menjadi satu kebangkitan Gelombang Biru manakala di Negeri Sembilan membuktikan persefahaman menjadi kekuatan.

“Justeru, telah tiba masa PRU-16 disegerakan. Ini bukan desakan, ini bukan harapan, ini kehendak rakyat, cukup-cukuplah… bagi peluang kami pula.

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita telah berlawan, kita lawan sampai… (menang),” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, yang dijawab “menang” oleh perwakilan.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Selanjutnya tambah Ahmad Zahid, kemenangan tidak datang bergolek dan ia mesti dilengkapi dengan strategi dengan mempertahankan asas kenegaraan.

“Walaupun DNA UMNO ialah memimpin, namun kemenangan itu tidak datang bergolek. Ia dilengkapi dengan strategi dan peraturan yang memahami realiti di lapangan.

“Selama 80 tahun kita memimpin sebagai parti politik kita tidak memencilkan masyarakat lain, kita mempertahankan asas kenegaraan. Benar kita perjuangkan Melayu, kita jugalah yang menyatukan kemajmukan melalui parti Perikatan dan Barisan Nasional,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga berkata sejarah perjuangan UMNO tidak ditulis oleh kerana keberanian semata-mata, tetapi ia turut dibentuk oleh kebijaksaan membaca zaman, memahami realiti perubahan dan memilih langkah yang tepat ketika dunia terus bergerak.

“Para pendahulu kita cukup berani membaca realiti. Peristiwa Malayan Union yang menggugat kedudukan Raja-Raja Melayu, gerakan Melayu yang terpisah-pisah telah membangkitkan kesedaran yang akhirnya melahirkan UMNO.

“Dengan kesedaran itulah ia menyuntik semangat nasionalisme yang menuntut UMNO bergerak untuk mencapai hasrat pemerintahan sendiri,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO