Puteri UMNO Mahu Jadi Wadah Dipercayai Wanita Muda – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia perlu diperkasakan sebagai wadah politik yang diyakini wanita muda serta menjadi medan melahirkan lebih ramai pemimpin baharu yang mampu membawa suara generasi muda di negara ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, setiap anggota perlu memahami bahawa mereka bukan sekadar ahli parti, sebaliknya merupakan pemimpin yang sedang dibentuk melalui pengalaman, tanggungjawab dan khidmat kepada rakyat.

“Pemimpin dilahirkan melalui tanggungjawab. Jadi apa yang kita bahaskan hari ini, Puteri perlu praktikkan dan jadikan wadah Puteri UMNO sebagai generasi yang memperkasakan wanita muda di Malaysia.

“Jangan kita berubah daripada perjuangan parti kita. Apa yang kita buat, apa yang kita bina dan apa yang kita cakap, biarlah melambangkan wajah Puteri UMNO.

“Jadilah seorang yang matang, bijak, mampu membawa suara wanita muda dan menjadi pemimpin yang diyakini,” katanya di sesi penggulungan Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Nur Jazlan Mohamed; Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Yakub Khan serta perwakilan Puteri UMNO.

Selanjutnya, Nurul Amal turut menegaskan bahawa ulang tahun ke-25 Pergerakan Puteri UMNO harus menjadi titik tolak untuk membina legasi yang lebih kukuh bagi tempoh 25 tahun akan datang.

“25 tahun akan datang, adik-adik kita mungkin melihat apa yang kita lakukan pada hari ini. Jadi jadilah contoh yang terbaik di bahagian dan negeri masing-masing,” katanya lagi.

Pada masa sama kata beliau, setiap anggota perlu kembali ke negeri dan bahagian masing-masing dengan semangat yang dibawa sepanjang persidangan untuk diterjemahkan menerusi tindakan serta khidmat kepada masyarakat.

“Bawalah semangat persidangan ke kawasan masing-masing bagi memperkukuh jentera parti dan membantu memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

“Membantu manusia lain juga adalah satu solusi kepada Puteri UMNO. Biar orang nampak Puteri UMNO sentiasa berada bersama masyarakat ketika mereka berdepan masalah,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO