‘Kalau Perlu RCI, Siasat Semua… Bukan UMNO Sahaja’
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memberi perhatian serius terhadap keperluan prasarana dan keselamatan pelajar termasuk memastikan kemudahan bas sekolah yang telah diluluskan benar-benar disediakan kepada pihak sekolah.
Pembahas mewakili Pahang dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia, Norsarfinaz Mohd Azman berkata ini kerana aspek keselamatan kanak-kanak tidak boleh dikompromi, khususnya melibatkan kemudahan pengangkutan.
“Tidak boleh kompromi. Kita mohon bas sekolah dan sudah diluluskan, malah sepatutnya bas baharu sampai ke sekolah pada 2023, tetapi hingga hari ini satu ‘biji’ bas pun kita tidak nampak. Asap bas pun kita tidak nampak.
“Kalau perlu dibuat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), RCI kan lah. Jangan nak buat RCI ini pada orang UMNO sahaja. Kalau nak dibuat RCI, buat sampai kita dapat jawapan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut berkata tindakan menyiasat sesuatu kes secara menyeluruh penting bagi memastikan tidak timbul persepsi wujudnya layanan berbeza atau tindakan terpilih terhadap mana-mana pihak.
Sementara itu, wakil negeri Johor yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang Datuk Fahariyah Md Nordin berpandangan kerajaan disaran memperkukuh agenda penjagaan dengan menginstitusikan penjagaan keluarga.
Beliau berkata ia bagi memastikan golongan penjaga, khususnya wanita, mendapat perlindungan sosial, latihan serta sokongan mental yang sewajarnya.
“Meskipun ada agensi seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Baitulmal yang menyalurkan bantuan kepada penjaga pesakit terlantar. Tetapi dengan kadar RM300 ke RM500 sebulan mana cukup untuk menyara anak-anak, ibu bapa yang sakit dan untuk diri sendiri.
“Maka Wanita UMNO Johor ingin mencadangkan supaya agenda penjagaan ini diperkasakan dengan menginstitusikan penjagaan keluarga. Penjaga perlu
mempunyai akses kepada perlindungan sosial, latihan serta sokongan mental.
“Kita juga menggesa kerajaan untuk membangunkan ‘Silver Economy’ supaya dapat membentuk ekosistem masyarakat warga emas yang lebih sejahtera.
“Perlindungan kewangan kesihatan serta akses kepada penjagaan warga emas yang harganya mampu bayar juga harus diperluaskan,” ujar beliau. – UMNO Online
