Hayati Semangat Perang Badar Dan Uhud – Reezal

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO perlu mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan parti, khususnya dalam mengurus kejayaan dan kekalahan, selain membina kekuatan melalui semangat kesatuan serta kepatuhan kepada kepimpinan.

Wakil  Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata UMNO pernah melalui pelbagai fasa kejayaan dan kemerosotan sejak 2004, justeru pengalaman tersebut perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh parti.

Menurut beliau, UMNO bukan sahaja perlu belajar mengurus kejayaan, tetapi turut perlu belajar mengurus kekalahan agar parti mampu bangkit semula.

“Rupanya kita bukan gagal menjadi pengurus kepada kejayaan. Kita juga gagal menjadi pengurus kekalahan. Tetapi itu Allah SWT nak bagi untuk jadi ibrah kepada kita. Kita belajar,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan  Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2026, di Dewan Tun Razak 4 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Reezal berkata Pemuda perlu menghayati dua semangat penting daripada sejarah peperangan Nabi Muhammad SAW, iaitu semangat Badar dan Uhud.

Katanya, semangat Badar yang menyaksikan kekuatan 313 anggota perlu menjadi teladan kepada Pemuda untuk membina kesatuan, keyakinan dan keteguhan dalam perjuangan.

“Pemuda nak menang, kena ada semangat Badar,” katanya.

Sementara itu, semangat Uhud pula, katanya, mengajar tentang kepatuhan kepada ketua serta keupayaan bangkit daripada musibah.

Menurut beliau, kekalahan dalam Perang Uhud berlaku antaranya kerana isu kepatuhan, namun Nabi Muhammad SAW tetap memilih untuk merangkul mereka yang pernah menjadi musuh dan akhirnya mereka turut memainkan peranan besar dalam perjuangan Islam.

Reezal berkata pendekatan sama perlu diterapkan dalam UMNO menerusi gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden parti sebagai usaha mengembalikan kekuatan dan merangkul semula semua pihak dalam satu wadah.

“Kalau semua kita berada balik di bawah satu bumbung, tentulah UMNO akan kuat. Tak mungkin UMNO lemah kalau semua kita berada balik di bawah satu bumbung,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO