Puteri UMNO Jambatan Suara Wanita Muda

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menegaskan kepentingan memastikan suara wanita muda terus diberi ruang yang sewajarnya dalam parti, termasuk melalui perwakilan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai langkah memperkukuh keterangkuman serta melatih kepimpinan generasi baharu.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, wanita muda mempunyai perspektif tersendiri dalam memahami cabaran semasa, khususnya berkaitan peluang pekerjaan yang semakin kompetitif serta ruang penyertaan wanita dalam pelbagai sektor.

Menurut beliau, ketika ini penglibatan wanita dalam kepimpinan politik masih sekitar 17 peratus dan keadaan itu tidak wajar dipandang remeh kerana suara wanita muda penting dalam membentuk hala tuju generasi akan datang.

“Wanita muda lebih memahami keadaan. Dalam masa sekarang peluang pekerjaan jadi makin nipis dan ruang wanita muda kalau tidak diadakan, maka akan berebut dengan kaum lelaki.

“Perlu ada wanita muda yang mewakili wanita kerana mereka ini membawa suara golongan usia bawah 40 tahun. Bagaimana kita melatih pemimpin adalah dengan memberikan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika siding media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyentuh keperluan memperkukuh peranan wanita muda serta kepimpinan Puteri UMNO dalam parti.

Nurul Amal berkata, sasaran minimum 30 peratus wakil wanita perlu diterjemahkan dalam bentuk yang nyata bagi memastikan suara wanita tidak hanya menjadi perbincangan, sebaliknya benar-benar diwakili dalam proses membuat keputusan.

“30 peratus letakkan paling minimum. Siapa nak bawa suara wanita muda kalau tidak golongan itu sendiri. Sekarang sekitar 17 peratus sahaja. Tidak boleh ambil remeh kerana ini adalah suara wanita muda yang akan membentuk generasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Puteri UMNO perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dengan parti, khususnya dalam memahami perkara yang menjadi perbualan dan kebimbangan golongan muda.

Katanya, kedudukan Puteri yang berada di pertengahan antara generasi membolehkan pergerakan itu mendekati rakyat dalam pelbagai peranan, sama ada sebagai kakak, adik mahupun anak.

“Puteri kena jadi jambatan antara rakyat dan juga parti, antara generasi dan juga parti. Memahamkan parti apa yang sedang dibualkan oleh rakyat khususnya golongan muda.

“Puteri jadi penyampai daripada rakyat kepada parti. Semangat itu dibawa oleh rakyat. Kita tak boleh menidakkan suara rakyat yang lagi besar daripada orang politik,” katanya.

Menurutnya, karakter wanita muda perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana golongan berkenaan berdepan pelbagai cabaran dan perjuangan yang kadangkala tidak diketengahkan.

“Karakter wanita muda ini jangan pandang remeh dan banyak struggle yang tak dibentangkan. Mungkin kerana kekurangan wakil,” katanya.

Nurul Amal pada masa sama berkata, undi golongan muda tidak bersifat statik dan terdapat sebahagian besar pengundi muda yang memilih untuk tidak menyatakan kecenderungan politik mereka secara terbuka.

Katanya, generasi hari ini juga membuat penilaian bukan semata-mata berdasarkan siapa pemimpin, sebaliknya melihat bagaimana sesebuah parti dan kepimpinannya menangani isu serta mendekati rakyat.

“Undi orang muda tak statik tapi banyak undi senyap. Generasi sekarang menilai dari segi macam mana, bukan dari segi pemimpin sahaja. Golongan atau generasi sekarang bijak pandai.

“Satu keperluan untuk orang muda mengenali kita, Puteri UMNO. Gunakan media sosial,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan komunikasi yang lebih dekat dan konsisten menerusi media sosial perlu diperkasakan bagi memastikan Puteri UMNO dikenali serta mampu menjadi suara yang benar-benar dekat dengan denyut nadi generasi muda. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO