25 Tahun Puteri UMNO, Kini Bina Generasi Pemimpin Baharu – Umaira
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pergerakan Puteri UMNO perlu terus memperkukuh peranan sebagai ‘kilang kepimpinan’ dengan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita muda yang berani, pantas bertindak dan teguh memegang amanah untuk menerajui parti serta berkhidmat kepada rakyat.
Penyokong usul Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Siti Nur Umaira Hasim berkata, selepas 25 tahun Puteri UMNO dibina dan berkembang, tiba masanya gerakan itu melihat lebih jauh dengan membentuk barisan pemimpin baharu bagi tempoh 25 tahun akan datang.
“25 tahun sudah kita bina, sekarang masanya kita bina 25 tahun yang seterusnya dengan lebih ramai pemimpin yang lahir dari kilang Puteri. Yang lebih berani melangkah, yang lebih pantas bertindak, lebih teguh memegang amanah. Dan dengan lebih ramai yang percaya bahawa Puteri bukan sekadar masa depan tetapi Puteri sedang membina masa depan.
“Kita jangan hanya melihat apa yang telah kita capai tapi mesti melihat siapa yang akan kita lahirkan untuk 25 tahun akan datang. Kerana warisan Puteri bukan hanya tentang jumlah ahli, program, berapa banyak aktiviti yang kita adakan tetapi berapa ramai lagi wanita muda yang kita berjaya bentuk untuk menjadi pemimpin yang disegani kelak.
“Pemimpin yang apabila diberikan amanah, mampu membuktikan kemampuan dan kredibiliti. Pemimpin yang apabila diberikan ruang, berani tampil ke hadapan. Pemimpin yang apabila diberikan kuasa, tahu bahawa kuasa itu datang bersama tanggungjawab. Saya mahu menjadi salah seorang daripada pemimpin itu, bukan untuk diri saya tetapi untuk rakyat Labu dan untuk Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.
Umaira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu menjelaskan kepercayaan serta ruang yang diberikan kepada wanita muda dalam parti perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membina pengalaman, mengasah kepimpinan dan membuktikan kemampuan mereka dalam membawa amanah yang diberikan.
“Terima kasih kerana percaya kepada kami. Terima kasih kerana memberikan ruang kepada wanita muda untuk terus belajar, memimpin dan membuktikan kemampuan. Saya percaya, perjalanan ini hanyalah salah satu daripada banyak lagi pemimpin yang akan lahir daripada Puteri,” katanya lagi.
Beliau yang juga Setiausaha Puteri UMNO Negeri Sembilan menjelaskan perjuangan membangunkan kepimpinan wanita muda tidak seharusnya terhenti kepada satu generasi, sebaliknya perlu diteruskan dengan memberi peluang kepada lebih ramai anggota Puteri untuk berkembang dalam parti dan masyarakat.
“Mudah-mudahan selepas ini akan ada lebih ramai wanita muda yang bermula sebagai ahli Puteri. Suatu hari nanti berdiri sebagai pemimpin yang membawa suara rakyat dan semestinya untuk membawa nama Puteri UMNO dengan rasa bangga di dada, harapan di hati dan penuh tanggungjawab dalam memikul amanah,” ujarnya. – UMNO Online
