Dengar, Peduli Dan Bantu Rakyat, Kunci Bina Kepercayaan – Hasnor Hafiza

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pencadang Usul Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Hasnor Hafiza Hussin berkata, kepercayaan rakyat tidak bermula ketika pilihan raya, tetapi dibina setiap kali anggota parti berdepan dan berinteraksi dengan masyarakat.

Jelasnya, cara ahli parti mendengar keluhan, melayan, menjawab persoalan serta membantu rakyat merupakan antara perkara yang akan membentuk wajah UMNO di mata masyarakat.

“Politik kepercayaan bukan sekadar meminta rakyat percaya kepada kita, ia adalah tentang memberi mereka sebab untuk terus percaya pada parti ini.

“Politik kepercayaan tidak bermula dari pilihan raya, ia bermula setiap kali bertemu dengan rakyat iaitu cara kita mendengar, melayan, menjawab dan juga cara kita membantu rakyat. Itulah wajah UMNO yang akan mereka sentiasa ingat.

“Maka, Puteri UMNO haruslah mendekati mereka, peduli, mendengar, bekerja dan bersedia memimpin mereka kerana kepercayaan rakyat terhadap UMNO bermula dengan Puteri UMNO,” katanya di Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasnor yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia percaya dengan kepimpinan Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, yang telah membuktikan pendekatan kepimpinan yang mampu membina keyakinan dalam kalangan ahli serta memberi ruang kepada mereka untuk berkembang.

“Saya percaya di bawah kepimpinan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi telah menunjukkan bagaimana seorang ketua boleh membina keyakinan anak buahnya. Dengan mengenali dan menghargai usaha mereka, maka ia sentiasa memberi ruang berkembang untuk mereka.

“Kita sering menyebut Puteri UMNO sebagai pelapis tetapi pelapis sebenarnya bukan menunggu di belakang tetapi dipersiapkan untuk berada di baris hadapan. Kini sudah menjadi bukti bahawa calon Puteri UMNO yang diketengahkan baru-baru ini adalah pemimpin hari ini dan bukannya sekadar pelapis,” jelasnya.

Seterusnya beliau harap tugas utama Puteri UMNO adalah melahirkan lebih ramai wanita muda yang bersedia memikul tanggungjawab, amanah serta tampil sebagai pemimpin parti pada setiap peringkat.

“Tugas kita adalah melahirkan lebih ramai lagi pemimpin Puteri UMNO iaitu lebih ramai wanita muda yang bersedia memikul tanggungjawab dan amanah.

“Jangan tunggu pilihan raya baru mencari calon. Jangan tunggu kerusi kosong baru mencari pemimpin. Kita bina pemimpin sebelum mereka diperlukan, kita kenal pasti bakat, latih, bimbing dan beri pengalaman dan kita bukan sekadar melahirkan calon,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO