Pemuda UMNO Kemuka Cadangan Bela Kebajikan, Kepentingan Golongan Muda

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Akmal Saleh mencadangkan beberapa langkah yang perlu kerajaan ambil perhatian dalam memastikan kebajikan dan kepentingan golongan muda terus dibela.

Katanya, untuk meringankan beban penghantar p-hailing, dicadangkan agar diperluaskan skim penyelenggaraan motorsikal sepertimana yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Melaka ke seluruh negara dengan kerjasama GiatMARA.

“Kita mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri Melaka memberikan diskaun 30 peratus bagi penyelenggaraan motosikal kepada lebih 3,000 ‘rider’ mulai 1 Oktober, melalui bengkel terpilih dengan sekurang-kurangnya sebuah bengkel mewakili setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita mencadangkan supaya diwujudkan Skim Penyelenggaraan Motosikal P-Hailing di peringkat nasional. Negara mempunyai 232 pusat GiatMARA, termasuk pusat yang menawarkan latihan penyelenggaraan motosikal.

“Jadikan GiatMARA rakan latihan dan pensijilan, libatkan pelajar TVET di bawah penyeliaan tenaga mahir, bantu bengkel tempatan berkembang dan pastikan ‘rider’ menerima servis yang selamat serta berkualiti. Dalam satu langkah, kita menjaga motosikal ‘rider’, melatih anak muda TVET, membantu bengkel tempatan dan menggerakkan ekonomi akar umbi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

Akmal berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Kedua katanya mengenai isu pemilikan rumah iaitu memperluaskan Skim Sewa Untuk Dimiliki (rent-to-own) khususnya untuk golongan muda yang tinggal di kawasan bandar.

“Kalau anak muda mampu membayar sewa secara konsisten setiap bulan, mengapa bayaran itu tidak boleh membantu mereka membina deposit dan ekuiti untuk memiliki rumah tersebut?

“Sekiranya bersesuaian, Pemuda UMNO mencadangkan agar kerajaan mengaudit berek lama, kuarters kerajaan yang sudah tidak dihuni dan bangunan kediaman awam yang terbiar. Ubah suai dan naik taraf aset ini untuk dijadikan rumah sewa murah kepada pasangan muda,” katanya.

Begitu juga katanya, Pemuda UMNO mencadangkan agar diwujudkan lebih banyak Taska KEMAS di kawasan bandar yang diketahui mempunyai kualiti tetapi dengan yuran yang amat rendah.

Turut disentuh oleh Akmal adalah mengenai kos penjagaan, pendidikan dan intervensi awal anak-anak autisme yang telah mendapat perhatian daripada Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Bermula dengan hanya tiga kelas rintis di Melaka, hari ini sudah terdapat 19 kelas Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS di seluruh negara yang memberikan manfaat kepada 154 orang kanak-kanak.

“Sasaran tahun hadapan, pihak KKDW akan mewujudkan Tabika Tunas Istimewa di setiap daerah dalam negara. Inilah bukti bahawa cadangan Pemuda praktikal, boleh dilaksanakan dan sudah pun dinikmati rakyat,” katanya.

Manakala berikut kata Akmal, Biro Guaman Pemuda UMNO Malaysia akan menubuhkan satu pasukan khas bagi membantu para ibu yang digantung tak bertali dengan menerangkan proses, menghubungkan mereka dengan saluran bantuan yang tersedia dan mengiringi perjuangan mereka sehingga mendapat pembelaan yang seadilnya.

Begitu juga katanya, Pemuda UMNO mencadangkan agar diwujudkan satu mekanisme potongan gaji automatik melalui perintah mahkamah kepada bekas suami berpendapatan tetap yang culas membayar nafkah.

Selain itu, bagi memastikan pendapatan negara sentiasa mapan, Pemuda UMNO mencadangkan agar dikembalikan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang terbukti lebih baik berbanding sistem cukai yang diamalkan kerajaan sekarang. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO