Gelombang Biru Perlu Jadi Gelombang Kepercayaan Rakyat – Noraini

KUALA LUMPUR, 10 Sept – UMNO perlu memenangi sesuatu yang jauh lebih sukar daripada sekadar kemenangan pilihan raya iaitu mengekalkan kepercayaan rakyat, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurutnya, Wanita UMNO tidak mahu parti itu kembali mendapat kemenangan hanya kerana rakyat marah kepada pihak lain atau disebabkan kesilapan yang dilakukan parti lawan, sebaliknya kemenangan perlu lahir daripada keyakinan rakyat yang kembali percaya kepada UMNO.

Tambahnya, sekiranya Gelombang Biru mahu dibawa sehingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) dan seterusnya membawa Barisan Nasional (BN) kepada kemenangan, ia mesti disokong dengan kekuatan kepercayaan rakyat.

“Gelombang Biru membawa semangat. Gelombang Kepercayaan membawa kemenangan. Tetapi kepercayaan tidak boleh dipaksa, tidak boleh dibeli dan tidak boleh dituntut.

“Kita tidak boleh berkata kepada rakyat, percayalah kepada kita hanya kerana kita pernah berjasa. Jasa semalam memberikan kita sejarah, tetapi kerja hari ini memberikan kita kepercayaan. Sebab itu, kita mesti memberikan rakyat sebab untuk kembali percaya kepada kita,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita di Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, UMNO perlu memberikan rakyat sebab untuk kembali percaya dengan membuktikan bahawa parti itu memahami keresahan mereka, bersedia membela kepentingan rakyat serta mempunyai jawapan terhadap masa depan yang mereka harapkan.

Katanya, Gelombang Kepercayaan bukan sekadar satu kempen untuk meminta rakyat memberikan kepercayaan kepada UMNO, sebaliknya satu gerakan yang perlu memberikan alasan kukuh kepada rakyat untuk kembali yakin terhadap parti.

Dalam pada itu, beliau menegaskan gerakan berkenaan mesti bermula dengan Wanita UMNO kerana sayap parti itu mempunyai jaringan hubungan dan kepercayaan yang tidak mampu dibina hanya melalui algoritma media sosial.

“Wanita mengenali keluarga, mendengar keresahan mereka dan mengetahui apabila kos hidup mula menghimpit. Kita tahu apabila anak muda mula kehilangan harapan.

“Sebelum sesuatu masalah menjadi angka dalam laporan, Wanita sudah mendengarnya di pasar, di surau dan di rumah rakyat,” katanya.

Kata Noraini lagi, kekuatan tersebut merupakan aset penting Wanita UMNO kerana hubungan yang dibina bersama rakyat bukan untuk tempoh sehari, manakala kepercayaan yang dijaga tidak seharusnya hanya ketika pilihan raya.

Justeru, Wanita UMNO perlu terus turun padang, mendengar suara rakyat dan membuktikan melalui kerja serta khidmat bahawa UMNO sentiasa hadir untuk memahami dan memperjuangkan kepentingan mereka.

“Kepercayaan rakyat perlu dibina setiap hari. Itulah asas yang akan memastikan Gelombang Biru bukan sekadar semangat, tetapi menjadi gelombang yang mampu membawa kemenangan BN pada PRU akan datang,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO