Peranan Sayap UMNO Penggerak Utama Perjuangan Parti – Rosnah

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyokong pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan kepentingan kesatuan, kebersamaan serta peranan setiap sayap parti dalam memperkukuh UMNO ke tahap yang lebih baik.

Jelasnya, kekuatan UMNO tidak hanya bergantung kepada kepimpinan parti saja, sebaliknya turut dipacu oleh peranan Wanita, Pemuda dan Puteri sebagai sayap yang menjadi nadi serta kesinambungan perjuangan parti.

“Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan telah menekankan kesatuan, kebersamaan dan peranan sayap-sayap parti untuk membawa ke satu tahap yang lebih baik daripada apa yang kita lalui sebelum ini.

“Peranan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO amat penting bukan sahaja sebagai kesinambungan parti, tetapi bagi memastikan UMNO terus berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Yang paling penting, peranan tersebut tidak boleh sedikit pun lalai atau lari daripada asas perjuangan, iaitu mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Rosnah, sejak awal penubuhannya hinggalah pada hari ini parti tidak pernah lari daripada menjadi tunjang utama kepada usaha-usaha mempertahankan ketiga-tiga perkara tersebut.

Dalam masa sama beliau juga menegaskan kekuatan jentera parti di seluruh negara merupakan antara aset utama UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya dalam menghadapi pilihan raya.

“Memang sudah menjadi amalan kita apabila berlakunya pilihan raya, seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, seluruh jentera parti di seluruh negara akan digerakkan.

“Ini merupakan kekuatan parti kerana pada masa sama kita dapat memperkukuhkan jentera tempatan. Kekuatan ini adalah sesuatu yang tidak boleh dimatikan sama ada oleh kawan mahupun musuh,” katanya lagi.

Ujarnya,kekuatan jentera semata-mata tidak memadai sekiranya parti gagal memperoleh sokongan daripada akar umbi.

“Kekuatan sebenar UMNO dan BN bukan hanya terletak pada kemampuan menggerakkan jentera, tetapi turut bergantung kepada hubungan kukuh serta sokongan berterusan daripada akar umbi. Kalau kita kuat tetapi tidak mendapat sokongan daripada akar umbi, semuanya akan menjadi sia-sia.

“Kelebihan parti adalah kekuatan jentera. UMNO mempunyai struktur yang kukuh dan struktur itu bermula daripada akar umbi iaitu cawangan, bahagian dan seterusnya sehingga ke peringkat tertinggi parti,” ujarnya lagi.

Justeru katanya lagi, struktur yang tersusun dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi itulah yang memberikan UMNO dan BN kelebihan untuk terus bergerak sebagai sebuah parti yang mempunyai kekuatan akar umbi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO