Ucapan Tok Mat Sarat Dengan Ingatan Dan Saranan

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ucapan perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi disifatkan sarat dengan ingatan dan saranan penting dalam memperkukuh parti menghadapi cabaran politik akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, antara perkara utama yang ditekankan ialah keperluan untuk memperkukuhkan kekuatan dalaman parti serta memastikan kesatuan terus menjadi keutamaan.

Beliau berkata, kedudukan UMNO selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 perlu dilihat secara menyeluruh dalam menentukan hala tuju serta langkah parti untuk kembali dominan pada PRU16.

“Antara isyarat daripada ucapan Timbalan Presiden tadi, beliau menyeru kita melihat kembali kedudukan UMNO pasca 2022 dan PRN 2023.

“Ada tempat yang UMNO langsung tidak mendapat kerusi dan di Selangor kita hanya mempunyai dua kerusi. Oleh itu, kita kena sedar dan menginsafi keadaan tersebut dalam menentukan hala tuju dan langkah terbaik untuk menghadapi PRN Selangor akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang disempurnakan Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini malam tadi.

Menurut  Imran, Pemuda UMNO Selangor juga perlu memperkukuhkan hubungan dengan rakan kerjasama serta melihat ruang dan peluang yang ada bagi meningkatkan kembali prestasi parti di negeri itu.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan kesatuan seperti yang turut ditekankan dalam taklimat bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, agar tidak berlaku perpecahan atau perbalahan dalaman.

“Kita perlu fokus kepada PRU16 dan memperkukuhkan institusi serta organisasi parti supaya setiap pemimpin dan seluruh jentera bersedia.

“Kita juga perlu berpijak di bumi yang nyata dengan melihat sentimen rakyat, mengenal pasti kekuatan yang UMNO ada dan bagaimana kita boleh menyumbang untuk menaikkan semula martabat serta kedudukan UMNO,” katanya.

Imran turut menyeru seluruh perwakilan supaya menjadikan Perhimpunan Agung UMNO 2026 sebagai medan memperkukuhkan parti, memberi tawaran yang lebih baik kepada rakyat serta membawa agenda Rumah Bangsa menjelang PRU16.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO