UMNO Mesti Berdikari, Bangunkan Kekuatan Dengan Strategi Sendiri
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO mesti berdikari dan tidak boleh bersandarkan kepada parti lain untuk membina kekuatannya.
Ujarnya ketika tiada talian hayat lain untuk ketahanan diri kecuali UMNO perlu bingkas dengan cara dan strategi sendiri.

“Justeru, tanamlah dalam fikiran kita bahawa, selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh dari kepulihan. Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai. Tetapi kerugian dalam waktu panjang itu, akan lebih memudaratkan lagi UMNO.
“Pergantungan kepada orang lain, adalah formula politik yang tempang. UMNO mempunyai harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya. UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim.
“UMNO perlu mengembalikan kekuatan kita sendiri, agar akhirnya, kita tidak perlu bergantung dengan orang lain untuk berkelangsungan,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, malam ini.
Hadir sama barisan Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad yang juga Menteri Luar mengulas kedudukan parti selepas Mei 2018, di mana UMNO telah melakukan banyak usaha untuk merawat, memulih dan membangunkan semula kebingkasan politiknya dengan berhadapan pelbagai cabaran.
“Sebelum 2018, UMNO tidak pernah sekali pun duduk di kerusi pembangkang di Parlimen. Ia telah terbiasa menjadi kerajaan. Jadi bayangkan kecamukan yang UMNO hadapi bila ia tidak menjadi nakhoda kerajaan.
“Pelbagai formula telah UMNO terokai untuk kembali menjadi pelengkap kestabilan politik Malaysia. Ia menyertai Kerajaan Perikatan Nasional pada Mac 2020. Kemudian ia mengetuai Kerajaan Keluarga Malaysia pada Ogos 2021. Dan pada November 2022, UMNO bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan hingga hari ini,” katanya. – UMNO ONLINE
