PAU 2026: UMNO Kembali Kepada Amanah Rakyat
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bukan sekadar medan menghimpunkan ahli dan pemimpin parti, sebaliknya menjadi ruang untuk seluruh warga UMNO melakukan muhasabah serta menilai semula sejauh mana perjuangan parti terus berpaksikan kepentingan rakyat.
Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Johor merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim, melihat semangat B.U.B.A.R – Bangkit, Usaha, Baiki, Amanah, Rakyat sebagai satu gagasan yang cukup bermakna dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan politik dan kepimpinan UMNO.
Menurut beliau, lima perkataan tersebut bukan sekadar slogan atau jargon politik, sebaliknya membawa makna yang mendalam jika benar-benar diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Bangkit bukan bermaksud bangkit sekali sahaja, kemudian kembali senyap. Bangkit itu perlu berterusan walaupun kita penat, dicabar dan ada yang meragui,” katanya dalam satu perkongsian sempena PAU minggu ini.
Beliau berkata, elemen Usaha pula amat penting kerana rakyat pada hari ini sudah semakin matang dalam menilai prestasi seseorang pemimpin.
Katanya, rakyat tidak lagi hanya mahu mendengar janji, sebaliknya mahu melihat hasil kerja yang benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan mereka.
“Rakyat sudah lama letih dengan janji. Mereka mahu melihat kerja, bukan sekadar mendengar kata-kata,” katanya.
Dalam masa sama, Norshida menegaskan bahawa aspek ‘Baiki’ juga perlu diberikan perhatian oleh setiap pemimpin kerana tiada siapa yang sempurna dalam melaksanakan amanah.
Menurutnya, keberanian untuk mengakui kelemahan, menerima teguran dan memperbetulkan kesilapan merupakan sebahagian daripada proses memperkukuhkan perjuangan parti.
Bagi elemen Amanah, beliau menyifatkannya sebagai nilai yang paling penting untuk dipelihara apabila seseorang diberikan kuasa dan tanggungjawab.
“Amanah adalah sesuatu yang perlu dijaga setiap hari, bukan hanya setiap lima tahun apabila tiba musim pilihan raya,” katanya.
Tambah beliau, perkataan terakhir iaitu Rakyat harus menjadi asas kepada segala perjuangan kerana rakyatlah yang sepatutnya menjadi titik mula dan titik akhir kepada setiap keputusan yang dibuat oleh pemimpin.
“Bukan parti, bukan jawatan dan bukan pangkat. Akhirnya, semuanya kembali kepada rakyat,” katanya.
Norshida turut berpandangan bahawa semangat B.U.B.A.R tidak seharusnya dilihat hanya dalam konteks politik UMNO, sebaliknya boleh dijadikan ukuran kepada mana-mana pemimpin tanpa mengira latar belakang atau parti.
Katanya, persoalan paling penting ialah sama ada seseorang pemimpin itu benar-benar mendengar suara akar umbi atau semakin jauh daripada denyut nadi rakyat.
Sempena PAU 2026 kali ini, beliau turut mengambil kesempatan untuk melakukan refleksi terhadap peranan dan tanggungjawab dirinya sendiri dalam memastikan nilai amanah terus dipelihara, bukan sahaja dalam perjuangan politik, malah dalam keluarga, pekerjaan dan komuniti.
“Perubahan yang besar selalunya bermula daripada perkara kecil yang kita lakukan secara konsisten,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh warga UMNO dan masyarakat untuk menjadikan PAU bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebagai titik untuk kembali memperkukuhkan tekad berkhidmat kepada rakyat. – UMNO Online
