‘Serang Balik’ Provokasi Dan Fitnah… Jangan Defensif

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyambut baik saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tangkas dalam menghadapi cabaran politik dan menangani persepsi yang dimainkan pihak tertentu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, saranan tersebut perlu diterjemahkan menerusi pengukuhan jentera parti agar UMNO lebih bersedia menghadapi pelbagai bentuk provokasi politik.

“Kita perlu memperhebatkan jentera… kalau perlu kita serang dan jangan defensif kerana ada pihak yang tidak suka pada kita.

“Mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk membuat provokasi, memfitnah dengan menyebarkan perkara-perkara yang menimbulkan persepsi negatif kepada parti,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas Taklimat Presiden bersempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia semalam.

Katanya lagi, UMNO perlu memanfaatkan media sosial secara lebih strategik sebagai wadah untuk menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat,

Menurutnya, dalam landskap politik hari ini realiti sahaja tidak memadai kerana persepsi turut memainkan peranan dalam membentuk pandangan masyarakat.

“Oleh itu, kita perlu mempertahankan parti supaya rakyat melihat perkara yang sebenar.

“… kerana politik ini bukan hanya hal-hal realiti, politik juga melibatkan persepsi.

“Kita kena urus persepsi dengan mengaktifkan media sosial dan juga gerakan yang melibatkan orang muda khasnya,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO