PAU 2026 Ruang Nilai Gerak Kerja, Perkukuh Hubungan Dengan Rakyat – Najib
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 perlu dimanfaatkan untuk menilai semula pendekatan dan gerak kerja parti agar terus dekat dengan denyut nadi rakyat, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani berkata, UMNO perlu sentiasa peka terhadap perubahan kehendak rakyat, khususnya dalam menangani isu yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan mereka.
Menurutnya, kekuatan parti bukan hanya bergantung kepada kepimpinan, tetapi turut ditentukan oleh sejauh mana UMNO mampu berada bersama rakyat ketika mereka berdepan pelbagai cabaran.
“PAU adalah masa untuk kita bermuhasabah dan melihat apa yang perlu diperbaiki. Kita perlu dengar suara akar umbi dan rakyat, kemudian terjemahkannya melalui gerak kerja yang lebih berkesan.
“Jangan hanya bercakap mengenai politik, tetapi kita mesti terus bekerja dan membuktikan bahawa UMNO sentiasa bersama rakyat,” katanya.
Najib berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan UMNO terus relevan dan diyakini, selain memperkukuh hubungan antara kepimpinan parti dengan anggota di semua peringkat.
Katanya, PAU 2026 juga perlu menjadi platform untuk memperkemas kekuatan organisasi dan memastikan setiap bahagian serta cawangan mempunyai hala tuju yang jelas dalam menghadapi cabaran politik mendatang.- UMNO Online
