PAU 2026: Lebih 111 Reruai Usahawan Warnai WTCKL
KUALA LUMPUR, 9 Sept — Sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, pelbagai program dan aktiviti menarik dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sekali gus memberi peluang kepada perwakilan, ahli UMNO serta orang ramai untuk memeriahkan suasana sepanjang berlangsungnya persidangan terbabit.
Antara program yang dianjurkan ialah Program Komuniti Pemeriksaan Kanser Percuma sumbangan Kebajikan Wanita UMNO Malaysia, selain Karnival Jualan dan Gerai Korporat yang menghimpunkan lebih 111 reruai usahawan di Ruang Legar Aras 2 dan Legar Putra, WTCKL.

Tapak jualan berkenaan mula beroperasi sejak semalam dan akan berlangsung hingga 12 Sept ini, mendahului serta berjalan seiring dengan perhimpunan rasmi PAU 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 12 Sept.
Tinjauan di kawasan jualan mendapati suasana di Legar Putra kembali meriah dengan kehadiran perwakilan, ahli parti dan orang awam yang mengambil kesempatan berkunjung sambil membeli-belah serta melihat pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Para peniaga menawarkan pelbagai pilihan barangan, daripada pakaian, makanan dan minuman, kraf tangan, aksesori serta produk tempatan, hinggalah barangan keperluan harian yang boleh digunakan sepanjang berada di Kuala Lumpur.
Tidak ketinggalan, pelbagai cenderamata dan ole-ole turut dijual untuk dibawa pulang oleh para perwakilan sebagai buah tangan kepada keluarga, sahabat-handai dan kenalan selepas selesai menghadiri perhimpunan.

Karnival berkenaan turut menjadi platform kepada usahawan tempatan, badan korporat dan agensi berkaitan untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan masing-masing kepada pengunjung yang datang dari pelbagai negeri.
Pada masa sama, penganjuran Program Komuniti Pemeriksaan Kanser Percuma memberi nilai tambah kepada pengunjung dengan menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan, sekali gus mencerminkan usaha memberi manfaat kepada komuniti di samping memeriahkan perhimpunan.
Seluruh ahli UMNO dan orang ramai dijemput untuk hadir ke WTCKL bagi memeriahkan pelbagai program yang disediakan, di samping menyokong usahawan tempatan yang berkampung sepanjang tempoh perhimpunan berlangsung. – UMNO Online
