Muhasabah, Lupakan Kekurangan Dan Kembali Bersatu – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 10 Sept – UMNO perlu menjadikan pengalaman dan perbezaan pencapaian dalam pilihan raya sebagai ruang untuk melakukan muhasabah, memperbaiki kelemahan serta kembali membina kekuatan parti secara bersama.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbezaan antara negeri yang mencatat kemenangan dan yang belum mencapai kemenangan tidak seharusnya menjadi faktor yang memecah-belahkan parti.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara paling penting ialah seluruh warga UMNO mempunyai pemikiran yang satu dan terus memperkukuh semangat muafakat tanpa menjadikan jumlah kerusi yang diperoleh sebagai ukuran utama kekuatan parti.
“Yang penting, pemikiran kita satu. Bukan kerana jumlah kerusi yang kita peroleh.
“Dan kita lakukan muhasabah, mengambil iktibar daripada yang benar, lebihkan. Pada saya yang penting kita lupakan kelemahan-kelemahan kita, kekurangan kita dan kita bersama bina kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku dan menggunakan pengalaman tersebut untuk memperkukuh parti, bukannya terus terikat dengan kelemahan serta kekurangan yang lalu.
Katanya, kesatuan pemikiran dan kekuatan bersama merupakan asas penting untuk memastikan UMNO terus mempunyai masa depan yang lebih kukuh.
“Saya yakin insya-Allah di sana ada cahaya di hujung terowong,” katanya.- UMNO Online
