Jangan Pertikai Hak Dan Prerogatif Institusi Diraja – Shaiful Hazizy
KUALA LUMPUR, 9 Sept — Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan semua pihak tidak seharusnya mempertikaikan hak dan prerogatif Institusi Diraja yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuk kuasa pengampunan dan peringanan hukuman.
Beliau berkata, kepentingan politik tidak wajar dijadikan alasan untuk mempertikai atau memberi tekanan terhadap Institusi Diraja dalam melaksanakan hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Jangan pertikai hak dan prerogatif Institusi Diraja dalam Perlembagaan iaitu hak mengampun dan meringankan hukuman. Jangan heret nafsu dan kepentingan politik tertentu sehingga dilihat mencabar kuasa dan hak Institusi Diraja.”
Menurut beliau, kenyataan yang mempertikaikan bidang kuasa berkenaan seolah-olah menghantar mesej atau amaran kepada Institusi Diraja bahawa hak tersebut tidak boleh dilaksanakan sekiranya ia memberi kesan kepada kepentingan politik pihak tertentu.
Shaiful Hazizy turut mengingatkan Sekretariat Pakatan Harapan (PH) bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menerima pengampunan melalui prerogatif Institusi Diraja yang sama, sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Sekretariat PH juga kena faham bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim diampunkan atas prerogatif ini. Datuk Seri Anwar diampun melalui hak yang sama Institusi Diraja seperti yang termaktub dalam dokumen Perlembagaan yang sama.”
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan pendirian Sekretariat PH yang dilihat lantang membangkitkan isu berkenaan, sedangkan kepimpinan parti-parti dalam gabungan itu tidak tampil menyatakan pendirian secara langsung dan terbuka.
“Pesanan saya kepada Sekretariat PH — hairan juga kenapa pemimpin anda tidak bersuara secara langsung dan terang? Kenapa perlu berselindung di sebalik sekretariat?”
Beliau berkata, PH seharusnya menumpukan perhatian kepada agenda reformasi dan menuntut Perdana Menteri melaksanakan segala janji serta agenda yang telah digariskan, bukannya mengheret Institusi Diraja ke dalam percaturan politik.
“Jangan selektif dan gelabah. Terus berikan tekanan anda kepada Perdana Menteri anda untuk tunaikan janji dan agenda reformasi. Masa anda semakin suntuk.”
Shaiful Hazizy menegaskan, prinsip menghormati Perlembagaan dan Institusi Diraja perlu menjadi pegangan semua pihak tanpa mengira kepentingan politik.
Katanya, apa juga kuasa yang diberikan kepada Institusi Diraja melalui Perlembagaan hendaklah dihormati dan tidak dipolitikkan demi kepentingan mana-mana pihak. – UMNO Online
