Ahmad Zahid Zahir Takziah, Kenang Jasa Wira Kesihatan Yang Terkorban

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan waris mangsa tragedi helikopter yang terhempas berhampiran Long Lellang, Sarawak.

Dalam kenyataan beliau, Ahmad Zahid berkata tragedi yang berlaku ketika petugas sedang melaksanakan amanah memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman amat mendukacitakan.

“Berita tragedi yang kita terima malam tadi amat mendukacitakan di mana seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang menaiki helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas berhampiran Long Lellang, Sarawak petang semalam telah disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.

“Lebih menyentuh hati, mereka pergi ketika sedang melaksanakan amanah dan tugas untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar seluruh keluarga dan waris mangsa diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi kehilangan yang amat berat itu.

“Saya mendoakan semoga seluruh keluarga dan waris mangsa yang terlibat diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran menghadapi kehilangan yang amat berat ini.

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka amat besar nilainya dan pasti akan dikenang sampai bila-bila,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO