Pelapis Kepimpinan, Ahli KULN Perlu Bijak Adaptasi Dinamika Politik – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Mahasiswa yang menyertai Kelab UMNO Luar Negara (KULN) perlu bijak membaca perubahan serta beradaptasi dengan dinamika politik yang sentiasa berkembang, tanpa menggadaikan prinsip perjuangan parti.

Pengerusi Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Mohamad Alamin berkata, golongan mahasiswa bukan sekadar anggota parti atau kelab biasa, sebaliknya mereka merupakan antara pelapis kepimpinan UMNO pada masa hadapan.

Menurutnya, mahasiswa di luar negara perlu mempersiapkan diri dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran kepimpinan agar mampu menjadi pemimpin yang hebat serta pantas menyesuaikan diri dengan perubahan politik semasa.

“Mahasiswa ini adalah anak-anak muda yang harus bijak membaca setiap perubahan dan paling penting, bijak mengadaptasikan perubahan itu demi kebaikan parti dan negara.

“Kita yakin merekalah yang boleh mengemudi serta memandu setiap perubahan yang berlaku. Mereka bukan sekadar ahli parti atau anggota kelab biasa, tetapi merupakan pelapis kepimpinan parti yang akan datang.

“Kita faham dan mengerti UMNO hari ini berdepan cabaran yang cukup hebat. Pastinya strategi dan pendekatan kita juga akan berubah mengikut keadaan. Mereka harus bersedia dengan sebarang perubahan yang dibawa parti, tetapi dalam masa sama tidak menggadaikan prinsip perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama mahasiswa Kelab UMNO Luar Negara.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara Datuk Mohd Razlan Mohammad Rafii; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros serta pelajar-pelajar KULN.

Mohamad Alamin yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata, cabaran yang dihadapi UMNO ketika ini memerlukan setiap anggota parti, khususnya generasi muda, untuk sentiasa bersedia menghadapi perubahan strategi dan pendekatan.

“Kita faham dan mengerti UMNO hari ini berdepan cabaran yang cukup hebat. Pastinya strategi dan pendekatan juga akan berubah mengikut keadaan. Mereka harus bersedia dengan sebarang perubahan yang dibawa parti, tetapi dalam masa sama tidak menggadaikan prinsip perjuangan kita,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut memaklumkan KULN akan menghantar tiga wakil mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

“Wakil bagi perbahasan Wanita UMNO akan disampaikan oleh pelajar dari Newcastle, United Kingdom, manakala perbahasan Pemuda UMNO akan diwakili dari University of Jordan.

“Sementara itu, wakil bagi perbahasan Puteri UMNO pula akan terdiri daripada mahasiswa dari Birmingham, United Kingdom.

“Kita mengharapkan mereka dapat membawa suara mahasiswa luar negara, khususnya mengenai bagaimana mereka berperanan di luar negara, harapan mereka serta perkara yang perlu kita lakukan untuk membantu dan memperkukuh peranan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, peluang yang diberikan di pentas PAU 2026 ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mereka menyuarakan pandangan dan aspirasi mahasiswa Malaysia di luar negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO