Ismail Lasim Nafi Ahmad Zahid Terlibat Usaha Jatuhkan Tuanku Muhriz

SEREMBAN, 8 Sept — Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan dakwaan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Penafian itu dibuat susulan laporan yang disiarkan oleh The Straits Times hari ini berhubung isu berkenaan.

Menurut Ismail, beliau sentiasa memberikan sokongan kepada Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang sentiasa menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.

“Saya ingin menafikan dakwaan penglibatan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan sewajarnya diselesaikan dengan baik dan penuh hikmah, selain mematuhi lunas undang-undang.

“Saya berharap isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan ini dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang demi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO