PAU Perhimpunan Melayu Terbesar, Medan Satukan Ummah
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berpandangan kepentingan Islam dan orang Melayu antara fokus utama yang dibincangkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata PAU merupakan medan terbaik untuk membincang usaha memperkukuh perpaduan Melayu tanpa meminggirkan bangsa-bangsa lain.
“Setiap tahun, PAU merupakan perhimpunan bangsa Melayu yang terbesar di negara ini. Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pada minggu ini.
“Pada hemat saya, antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah mengenai perpaduan bangsa Melayu tanpa kita meminggirkan bangsa-bangsa lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan PAU 2026 perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi merangka strategi kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya.
Katanya ini termasuk mengambil kira mood pengundi seperti perkembangan politik yang berlaku dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri sebelum ini.
“Saya kira jurucakap amat arif melihat apa yang telah berlaku di Sabah, Johor, Negeri Sembilan serta apa yang akan berlaku seterusnya,” ujar beliau.
Untuk rekod, PAU 2026 akan berlangsung pada empat hari bermula esok sehingga 12 September, yang akan dimulakan dengan taklimat Presiden UMNO, diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.
Manakala acara kemuncak melibatkan perwakilan dari seluruh negara yang akan berlangsung selama dua hari, bermula Jumaat dan Sabtu ini. – UMNO Online
