Skuad Sayang 3K Kebangsaan Sertai CDA Di Bawah APM – Noraini

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Skuad Sayang 3K Kebangsaan telah menyertai Civil Defense Auxiliary (CDA) di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kata Ketua Pesuruhjaya Kelab Skuad Sayang 3K Kebangsaan merangkap Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ujarnya, inisiatif tersebut diambil untuk menyediakan sukarelawan yang berilmu dan berkemahiran bagi menabur bakti kepada rakyat.

“Dalam kerja kesukarelawanan, semangat sebegini tidak mencukupi. Sukarelawan juga perlu dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran. Atas dasar itu, Skuad Sayang 3K mengorak satu langkah ke hadapan. Kami menyertai CDA ataupun Civil Defence Auxiliary di bawah APM.

“Alhamdulillah, CDA Skuad Sayang 3K telah didaftarkan secara rasmi. Sebenarnya kerjasama ini memberi peluang kepada sukarelawan kita untuk menerima latihan termasuk pengurusan bencana, keselamatan, kesiapsiagaan komuniti.

“Melalui latihan ini, mereka dapat bertindak dengan lebih cekap dan selamat apabila berlaku kecemasan ataupun bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Hi-Tea Skuad Sayang 3K Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, khidmat yang diberi oleh Skuad Sayang 3K dalam apa jua keadaan menjadikan Wanita UMNO sentiasa dekat di hati rakyat.

“Skuad Sayang 3K bukan sekadar satu nama. Ia bukan pasukan yang hanya muncul ketika berlangsungnya sesuatu program. Skuad ini membawa tiga amanah yang sangat dekat dengan kehidupan rakyat iaitu kebajikan, kesihatan, dan keselamatan.

“Apabila berlaku musibah, Skuad Sayang turun membantu. Apabila ada rumah atau keluarga yang memerlukan perhatian, Skuad Sayang hadir. Apabila masyarakat memerlukan sokongan, Skuad Sayang tidak pernah ragu untuk hulurkan tangan. Khidmat sebeginilah yang menjadikan Wanita UMNO sentiasa dekat di hati rakyat.

“Pada hari ini kita memberikan penghormatan kepada sukarelawan yang telah menunjukkan komitmen luar biasa. Anugerah ini, pertama kali kita perkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang aktif, turun padang dan sentiasa bersedia membantu masyarakat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada APM di atas kesediaan untuk berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman dalam memperkukuhkan latihan pengurusan bencana serta khidmat Skuad Sayang kepada rakyat.

“Bagi pihak Wanita UMNO Malaysia dan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada APM yang bersedia berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman bersama kami.

“Kami percaya pendaftaran CDA ini sekaligus akan memperkukuhkan kerjasama antara Skuad Sayang 3K dengan APM dalam latihan pengurusan bencana serta khidmat kepada masyarakat.

“…yang penting, kita mahu terus berkhidmat, menyantuni rakyat, dan membawa nama Wanita UMNO melalui kerja yang benar-benar dirasai oleh masyarakat,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara rasmi telah melancarkan dan menyerahkan sijil pendaftaran Civil Defense Auxiliary (CDA) Skuad Sayang 3K Kebangsaan.

Turut hadir ke majlis tersebut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman dan barisan sukarelawan Skuad Sayang 3K Kebangsaan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO