Kehadiran Skuad Sayang Dirasai Rakyat – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kehadiran Skuad Sayang di seluruh negara sebagai bukti kekuatan jentera Wanita UMNO yang sentiasa berada di akar umbi dan tampil membantu masyarakat khususnya ketika berdepan bencana.
Beliau berkata, komitmen Skuad Sayang yang turun padang bersama agensi-agensi kerajaan ketika berlaku banjir dan bencana membuktikan khidmat mereka benar-benar dirasai rakyat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MARA dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Ketua Pesuruhjaya memberitahu saya, apabila berlaku banjir atau bencana… yang datang ialah mereka yang bertudung merah. Ertinya, Skuad Sayang yang ‘turun’ dahulu.
“Ini memperlihatkan bahawa kita berada di akar umbi. Kebetulan saya ialah Pengerusi Majlis Bencana Negara dan saya mendapati terdapat kerjasama erat antara Skuad Sayang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Hi-Tea Skuad Sayang 3K Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sepanjang Monsun Timur Laut, seramai 343,000 mangsa daripada lebih 101,000 keluarga ditempatkan di lebih 1,600 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan Skuad Sayang turut memainkan peranan membantu masyarakat di lokasi berkenaan.
“Di seluruh PPS inilah Skuad Sayang berada. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan. Sebagai Pengerusi Majlis Bencana Negara, saya akan beritahu Ketua Pesuruhjaya APM supaya memberikan anugerah kepada Skuad Sayang di setiap negeri apabila berlaku bencana negara,” katanya lagi.
Tambahnya, penghargaan berkenaan penting sebagai tanda pengiktirafan terhadap pengorbanan anggota Skuad Sayang yang sentiasa memberikan komitmen ketika masyarakat memerlukan bantuan.
“Kehadiran Skuad Sayang juga mampu meningkatkan semangat anggota APM dan sukarelawan lain untuk terus memberikan khidmat kepada rakyat.
“Jangan rasa rugi apabila kita memberikan anugerah kepada mereka. Tanpa Skuad Sayang, semangat bekerja dalam APM mungkin kurang sedikit, tetapi apabila ada Skuad Sayang, saya lihat semangat mereka tinggi.
“Kalau mereka memberikan semangat kepada kita, kita harus memberikan penganugerahan kepada mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru Skuad Sayang 3K untuk menambah jumlah anggota yang mempunyai kemahiran dalam kesihatan dan pertolongan cemas.
“Kita mesti memperluaskan keupayaan dengan menambah jumlah anggota yang benar-benar mempunyai kemahiran dalam kesihatan, pertolongan cemas dan kesiapsiagaan bencana hingga ke peringkat negeri dan bahagian.
“Saya amat menghargai apa yang dilakukan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menubuhkan pasukan paramedik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka. Saya harap kumpulan ini dapat digabungkan dengan Skuad Sayang sebagai kombinasi antara paramedik dan Skuad Sayang.
“Kita tahu sebagai sebuah NGO, penerimaan masyarakat mungkin berbeza, tetapi keberadaan Skuad Sayang di bawah Wanita UMNO Malaysia telah mendapat pengiktirafan rakyat. Biarpun didaftarkan sebagai NGO, keberadaan kita memang dirasakan oleh semua pihak,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Zahid secara rasmi telah melancarkan dan menyerahkan sijil pendaftaran Civil Defense Auxiliary (CDA) Skuad Sayang 3K. Skuad Sayang 3K kini telah didaftarkan di bawah Angkatan APM.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Wanita UMNO merangkap Ketua Pesuruhjaya Kelab Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman dan barisan sukarelawan Skuad Sayang 3K Kebangsaan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
