Tujuh Resolusi Pendidikan Melayu 2026 Fokus Masa Depan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 melabuhkan tirainya sebentar tadi apabila menyaksikan penyerahan resolusi sebagai landasan memperkukuh agenda pendidikan serta mobiliti sosial bumiputera.

Resolusi berkenaan diserahkan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Pengerusi Konvensyen Pendidikan Melayu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada akhir konvensyen yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dr Zambry pada ucapan penutup berkata agenda pendidikan perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan serta cabaran masa depan dalam membentuk generasi yang berkualiti.

Menurut beliau, perancangan tersebut penting bagi memastikan sistem pendidikan terus relevan dalam melahirkan generasi yang mampu menghadapi tuntutan masa hadapan serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kita perlu merangka apabila negara kita mencapai 100 tahun kemerdekaannya pada tahun 2057 nanti… apakah rupa bentuk bangsa, wajah yang sebenarnya hendak kita lahirkan untuk generasi kita yang akan datang ini.

“Terutamanya dalam kalangan mahasiswa yang ada pada hari ini dan pelajar-pelajar dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan yang lebih tersusun, bersasar dan mampu meningkatkan daya saing serta mobiliti sosial masyarakat bumiputera,” katanya.

Berikut merupakan Resolusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026:

1. Membangunkan Pengkalan Data dan Indeks Mobiliti Pendidikan Nasional.

2. Melaksanakan Intervensi Awal Pendidikan dan Bersasar.

3. Membangunkan Laluan Mobiliti Pendidikan dan Sosial Bersepadu.

4. Menjadikan UiTM: A Gold Mine dan Mengoptimumkan Graduan Bumiputera Profesional.

5. Merancang Agenda Perubahan Minda Bumiputera.

6. Memanfaatkan Alumni UiTM Kembali Menyumbang.

7. Memastikan Sebuah Rangka Undang-undang Baharu Yang Lebih Komprehensif Bagi Manggantikan AUKU.

Untuk rekod konvensyen berkenaan memberi tumpuan tiga perkara utama iaitu cabaran mutakhir pendidikan anak bangsa, peranan strategik Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta pembaharuan pendidikan tinggi termasuk berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO