Institusi Pendidikan, Industri Mesti Jadi Rakan Pembentuk Bakat Bumiputera

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima Misi Pendidikan Melayu 2035 sebagai agenda memperkukuh ekosistem pendidikan agar lebih berdaya saing.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana agenda pendidikan Melayu perlu mempunyai misi yang jelas bagi memastikan setiap sasaran yang ditetapkan dapat direalisasikan.

“Menjelang 2030 setiap graduan daripada ekosistem UiTM, MARA dan institusi TVET Bumiputera perlu memiliki sekurang-kurangnya satu kompetensi industri yang diiktiraf, selain pengalaman pembelajaran berasaskan pekerjaan.

“Institusi pendidikan dan industri mesti menjadi rakan pembentuk bakat, bukan bergerak dalam dua dunia yang berasingan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Pengerusi Konvensyen Pendidikan Melayu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sementara itu beliau turut berhasrat mahu menjadikan UiTM sebagai Universiti Penguasaan Bumiputera dengan institusi itu perlu bergerak menjadi peneraju dalam bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi perubatan, tenaga hijau dan teknologi termaju.

“Ukuran kejayaan penyelidikan juga perlu berubah… bukan hanya dengan penerbitan… tetapi paten, pelesenan teknologi, syarikat spin-off dan penyelesaian yang digunakan industri. Universiti yang hebat bukan sekadar membicarakan ekonomi. Ia turut mencipta ekonomi,” ujar beliau.

Katanya lagi, Bahasa Melayu juga harus mempunyai tempat dalam dunia AI yang sekaligus membina pangkalan data ilmu yang besar, tersusun khususnya dalam sains, teknologi, perubatan, undang undang dan kejuruteraan.

“Sebagai graduan jurusan sastera, memartabatkan bahasa pada abad ini bermakna memastikan Bahasa Melayu terus mempunyai tempat dalam penghasilan ilmu dan teknologi masa depan,” ujar beliau.

Seterusnya, beliau juga menyasarkan dana wakaf ilmu bumiputera sekurang kurangnya RM1 bilion menjelang 2030 yang digerakkan bersama institusi, korporat, GLC, GLIC, alumni dan masyarakat untuk membiayai biasiswa, penyelidikan strategik dan pembangunan bakat.

Menyentuh berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) beliau berkata ia tidak boleh berhenti pada soal kekal atau mansuh sebaliknya universiti perlu diberikan lebih ruang.

“… tetapi ruang itu mesti datang bersama akauntabiliti yang terukur terhadap mutu pembelajaran, mobiliti graduan dan impak penyelidikan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO