Multaqa Ilmuwan Islam Kukuhkan Kesepakatan Ummah
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Setiap pertimbangan dan keputusan perlu dibuat berlandaskan kebijaksanaan, keadilan serta realistik supaya sesuatu tindakan yang diambil benar-benar menepati keperluan dan realiti masyarakat.
Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, dalam membuat sesuatu pertimbangan, aspek kewarasan, keutamaan dan kebiasaan juga tidak boleh diketepikan, terutama apabila melibatkan kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.
“Untuk membuat pertimbangan dan keputusan, letakkanlah kebijaksanaan, keadilan dan realistik. Mungkin ada kebijaksanaan tetapi tidak realistik, mungkin realistik tetapi tidak dengan kebijaksanaan.
“Kalau kita mempunyai beberapa calon atau pilihan, jangan sampai kita mengetepikan kewarasan, realistik, prioriti, kebiasaan dan keutamaan. Akhirnya, keputusan yang dibuat mungkin tidak mampu menjawab gelombang masyarakat.
“Kiblat kita sama, imam kita sama, bacaan kita sama, segalanya sama. Kalau institusi ini tidak dijaga, ke mana lagi kita hendak pergi. Institusi masjid adalah platform. Walaupun di mana pun perbezaan kita, kita tetap mempunyai persamaan,” katanya ketika Majlis Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia Datuk Dusuki Ahmad; Timbalan Pengerusi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rozabil Abdul Rahman, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; pimpinan parti Pas serta peserta-peserta.
Bagi Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru ahli dan penyokong UMNO serta Pas supaya memahami titik perbezaan antara kedua-dua parti, selain mengenal pasti ruang yang boleh disepakati demi kemakmuran negara dan kepentingan umat Islam.
“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi punca kepada perpecahan sesama umat Islam, sebaliknya persamaan dalam perkara asas khususnya berkaitan agama dan kepentingan bangsa perlu diperkukuhkan.
“Penyokong UMNO dan Pas perlu tahu di mana titik-titik perbezaan yang boleh menjadi satu kemakmuran kepada negara ini dan tahu di mana titik-titik persetujuan serta kesepakatan tauhidul kalimah yang merupakan kewajipan demi memelihara bangsa dan agama.
“Istilah kemaslahatan perlu difahami secara lebih mendalam kerana sesuatu keputusan tidak seharusnya dianggap membawa manfaat hanya kerana ia menguntungkan sesuatu pihak pada waktu tertentu,” jelasnya.
Sementara itu bagi Pengasas Pondok Rumi Sufi Jawi, Ustaz Ahmad Faiz Hafizudin Rosli menegaskan perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk masyarakat mencaci dan menghina ulama kerana tindakan sedemikian hanya akan merosakkan usaha memperkukuh perpaduan umat Islam dan keharmonian negara.
“Saya melihat ramai rakyat mencaci maki ulama. Itu sangat sedih apabila ulama dicaci maki oleh orang awam ataupun orang yang tidak awam sekalipun hanya kerana berbeza politik.
“Bagaimana kita hendak bersatu? Politik ini hari ini berkelahi, esok berbalah. Tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada sahabat yang kekal dalam politik.
“Negara ini tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan agama, bangsa dan negara. Tanah air seperti air, cawan dan piring. Ia tidak boleh dipisahkan. Agama ibarat air, cawan itu seperti bangsa, manakala tempat meletakkan cawan itu ialah negara,” ujarnya.
Untuk rekod, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia siri kedua ini bukan sekadar medan wacana ilmu, malah menjadi platform menyatukan pandangan ilmuwan dalam menghadapi cabaran semasa.
Ia sebagai bukti pentingnya bahawa suara ilmuwan dalam membentuk kefahaman masyarakat serta memperkukuh kesatuan umat Islam di negara ini. – UMNO Online
