PAU 2026: Teruskan Kebangkitan, Perkukuh Parti

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 perlu menjadi titik tolak kepada gelombang kebangkitan parti dan menjadi ruang untuk memperbaharui tekad, memperkukuh kesatuan dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin.

Gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO perlu menjadi wadah penyatuan seluruh keluarga besar parti, manakala gelombang biru mesti digerakkan sebagai lambang kekuatan dan kesatuan anggota UMNO.

Sri Rahayu mengajak semua perwakilan dan keluarga besar UMNO untuk memulakan kebangkitan parti dari akar umbi, mendekati rakyat dan memahami perubahan keperluan mereka.

“UMNO sedar landskap politik telah berubah dan adalah penting untuk parti respon kepada perubahan dan kehendak rakyat. Itulah kenapa pelbagai inisiatif digerakkan oleh pelbagai pihak dalam parti khusus untuk tujuan itu.”

Katanya, Wanita UMNO tampil bukan sekadar sebagai pelaksana program, tetapi sebagai jentera perubahan yang membawa suara rakyat, khususnya berkaitan keluarga, ekonomi wanita, pendidikan dan masa depan generasi muda.

“Wanita kreatif dari segi cara dan kaedah menyelesaikan masalah. Juga, kita dah biasa ‘multi-tasking’.
“Kita bukan hanya mahu rakyat kenal UMNO ketika pilihan raya. Kita mahu rakyat merasai kehadiran UMNO setiap masa. Itulah yang akan membina semula kepercayaan.”

Beliau berkata, perkembangan politik di negara-negara serantau juga memberi pengajaran bahawa pengundi hari ini semakin matang, kritikal dan selektif.

“Lihat sahaja perkembangan politik di negara jiran. Rakyat hari ini mahu kepimpinan yang diyakini, idea yang jelas dan penyelesaian yang nyata.

“Sejarah adalah akar kita, tetapi dunia politik hari ini memerlukan lebih daripada kekuatan sejarah itu. UMNO menghormati perjuangan terdahulu, tetapi pada masa yang sama berani memperbaharui pendekatan dan memahami bahasa generasi baharu. Jika kita tidak membuat sedemikian, ketinggalanlah kita.”

Sri Rahayu berkata, PAU 2026 perlu dimanfaatkan untuk menyatukan semula kekuatan parti serta membina budaya bekerja secara kolektif, dengan mengetepikan perbezaan demi agenda yang lebih besar.

“Rumah Bangsa ini mesti kukuh dan dipelihara. Kita semua adalah sebahagian daripada rumah ini. Perbezaan pandangan boleh kita bincangkan, tetapi perjuangan mesti kita satukan.

“Setiap ahli parti ialah wajah UMNO. Di mana sahaja kita berada, perlu menjiwai tagline UMNO – Bersatu, Bersetia, Berkhidmat dari dulu, kini dan selamanya, – insyaAllah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO