Voices of HER Serikan PAU… Bawa Agenda AI, Ekonomi Digital
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Program Voices of HER anjuran Wanita UMNO Malaysia menyerikan lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 dengan membawa agenda kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Pengarah Program Voices of HER, Wan Mohalina Wan Mohamad berkata, penganjuran program tersebut sudah semestinya untuk memperkasa lagi golongan wanita dan kemahiran mereka terhadap teknologi.

“Tajuk kita pada kali ini adalah mengenai AI dan teknologi ekonomi digital. Ia merupakan sesuatu yang wanita perlu ambil tahu dan prihatin tentang teknologi baharu. Jadi, pada hari ini kita bawa para pemain dalam teknologi digital dan mereka juga adalah usahawan-usahawan wanita yang berjaya.
“Saya nak melihat bahawa Forum Voices of HER ini membawa isu-isu yang boleh memperkasa wanita. Bukan setakat memperkasakan, tetapi kita nak bawa cadangan resolusi-resolusi inisiatif untuk membawa AI ini ke hadapan di kalangan wanita, bukan sekadar aspirasi sahaja.
“Kita nak menguasai dan mempunyai kemahiran dalam AI. Sebab itu kita bawakan barisan panel berpengalaman pada hari ini untuk berkongsi dengan para peserta. Apabila dah ada kemahiran itu, kita nak buat inovasi dan perniagaan seterusnya mempunyai pemilikan dalam perniagaan,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau menyeru para perwakilan Wanita UMNO untuk mengekalkan semangat perjuangan agar ia dapat diwariskan kepada generasi akan datang sepanjang PAU.

“Semestinya kita nak menghidupkan semagat perjuangan meskipun Wanita UMNO ini dah mencapai umur 77 tahun. Meskipun telah lebih separuh abad, kita lihat obor perjuangan ini masih membara.
“Kita juga berharap agar semangat tersebut terus membara dan diwariskan kepada generasi akan datang. Wanita UMNO akan sentiasa berdiri, memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah hadir untuk merasmikan program ‘Voices of HER: Wanita, AI dan Ekonomi Digital’ yang diadakan pada Selasa.
Turut hadir ke program tersebut ialah Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, barisan Exco Wanita UMNO Malaysia dan wanita-wanita dari parti komponen Barisan Nasional (BN).
Forum tersebut turut menampilkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare Sdn Bhd, Nadira Yusoff, Timbalan Dekan Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi UniKL MIIT, Profesor Madya Ts Dr Bazilah A Talip dan Pengasas Bersama merangkap Pengarah Pelabur Evolve Precision Global, Aida Azreen Ahmad. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
