Perkukuh Rumah Bangsa, PAU 2026 Mantapkan Kesatuan
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menjadi medan penting untuk seluruh warga parti kembali menyatukan hati, memperkukuh ‘Rumah Bangsa’ serta memperteguhkan tekad meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, PAU kali ini hadir pada waktu yang amat penting kerana ia menjadi ruang terbaik untuk seluruh kepimpinan dan akar umbi memperkemas kesatuan serta menyatukan aspirasi parti.
Menurut beliau, seluruh ahli UMNO perlu menjadikan PAU 2026 sebagai titik penyatuan bagi memastikan parti terus kukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran politik yang semakin mencabar.

“PAU 2026 ini tentunya menjadi medan untuk kita kembali bersatu, memperkukuh Rumah Bangsa dan menyatukan hati seluruh keluarga besar UMNO. Kita perlu sepakat menyokong aspirasi parti serta bersama-sama menyemarakkan gelombang biru.
“Persidangan kali ini juga cukup signifikan kerana ia berkemungkinan menjadi perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan barangkali juga sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.”
Justeru, katanya, tidak ada ruang untuk ahli parti terus dibelenggu perbezaan sebaliknya seluruh kekuatan perlu digembleng bagi memastikan UMNO berada pada landasan yang tepat untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi kita tetap berada di bawah satu rumah dan satu perjuangan. Yang lebih penting sekarang ialah bagaimana kita mengukuhkan kesatuan hati dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Mohd Zaidy turut menyeru seluruh anggota UMNO supaya menjadikan PAU 2026 sebagai momentum baharu untuk menghidupkan semula semangat perjuangan di peringkat akar umbi.
Katanya, kekuatan UMNO bukan hanya bergantung kepada kepimpinan, tetapi turut bersandarkan kesetiaan, kesungguhan dan kekuatan akar umbi yang sentiasa menjadi tunjang parti.
“Inilah masanya kita rapatkan saf, buang segala perbezaan dan kembali bekerja untuk rakyat. Jika kita bersatu, kita lebih kuat. Jika kita bergerak sebagai satu pasukan, insya-Allah gelombang biru akan terus menyala,” katanya.
Beliau yakin dengan kesatuan dan kesepakatan seluruh ahli, UMNO mampu terus menjadi wadah perjuangan yang memperjuangkan kepentingan rakyat serta mempertahankan agenda agama, bangsa dan negara.
“Kita mahu keluar daripada PAU ini bukan sekadar dengan semangat yang baharu, tetapi dengan tekad, disiplin dan kekuatan untuk turun ke akar umbi. Rumah Bangsa ini milik kita bersama dan menjadi tanggungjawab kita untuk terus memperkukuhkannya,” katanya lagi. – UMNO Online
