Pendidikan Melayu, Bumiputera Perlu Beralih Daripada Akses Kepada Kualiti
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pendidikan Melayu dan Bumiputera perlu bergerak daripada sekadar menyediakan akses pendidikan kepada usaha memperkukuh kualiti, kompetensi, daya saing dan pemilikan teknologi bagi memastikan anak bangsa mampu menghadapi ekonomi masa hadapan.
Pengerusi Konvensyen Pendidikan Melayu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perjuangan generasi terdahulu telah berjaya membuka peluang pendidikan, membina institusi serta menyediakan pelbagai kemudahan kepada anak bangsa.

Namun katanya, cabaran hari ini ialah memastikan akses tersebut benar-benar menghasilkan penguasaan ilmu, kemahiran, pemikiran kritis dan kebolehpasaran.
“Jika sekadar kemasukan meningkat, tetapi literasi, numerasi, pemikiran kritis, penguasaan bahasa dan kebolehpasaran tidak meningkat secara setara, kita hanya menghasilkan ramai yang keluar daripada universiti dan kolej tetapi tidak mempunyai mobiliti ekonomi yang cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 di sini, hari ini.
Menurut Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, survival pendidikan Melayu dan Bumiputera tidak boleh hanya dilihat dalam lingkungan universiti, sebaliknya perlu melibatkan keseluruhan ekosistem termasuk keluarga, sekolah, universiti, industri dan masyarakat.
Katanya, perkembangan kecerdasan buatan (AI) juga menuntut anak bangsa mempunyai asas ilmu yang kukuh supaya teknologi berkenaan digunakan untuk memperkasa pemikiran, bukannya menggantikan proses membaca, menulis, mengira dan menakul.
Dalam masa sama, beliau menegaskan anak Melayu dan Bumiputera perlu diberi keupayaan untuk menjadi jurutera, penyelidik, pencipta, pemilik paten, pengasas syarikat dan pemimpin industri.
“Kita perlu bergerak daripada akses kepada kualiti, daripada kelayakan kepada kompetensi, daripada pekerjaan kepada keusahawanan dan daripada penguasaan teknologi kepada pemilikan teknologi,” katanya.
Beliau berkata, konvensyen berkenaan turut membincangkan tiga perkara utama iaitu cabaran mutakhir pendidikan anak bangsa, peranan strategik Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta pembaharuan pendidikan tinggi termasuk berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Konvensyen berkenaan merupakan kesinambungan daripada Kongres Pendidikan Bumiputera yang diadakan pada 1 Mei 2026.
Zambry berharap resolusi yang dihasilkan tidak berakhir sebagai dokumen semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang tersusun demi memperkukuh pendidikan Melayu dan Bumiputera.
“Akses tanpa kualiti tidak memadai. Kualiti tanpa daya saing tidak mencukupi. Daya saing tanpa identiti akan kehilangan arah dan identiti tanpa ilmu hanya akan menjadi nostalgia,” katanya.- UMNO Online
