Merancang Masa Depan Bagan Datuk Hingga 2050

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Pembangunan Bagan Datuk perlu dirancang secara teratur dan bersepadu bagi memastikan keperluan rakyat bukan sahaja dipenuhi pada masa kini, malah untuk masa depan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Bagan Datuk akan menjadi antara panduan penting dalam merancang pembangunan kawasan itu sehingga tahun 2050.

“Pembangunan yang baik perlu dirancang bukan hanya untuk keperluan hari ini, tetapi juga untuk masa depan.

“Sebentar tadi, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Bagan Datuk yang akan menjadi antara panduan penting pembangunan Bagan Datuk sehingga tahun 2050,” katanya.

Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Bangan Datuk, kawasan tersebut sedang melalui fasa perkembangan yang penting dengan jaringan perhubungan yang semakin baik serta potensi baharu dalam sektor ekonomi dan pelaburan.

“Justeru, pembangunan selepas ini perlu disusun secara terancang dan bersepadu supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata peranan sektor swasta turut penting dalam usaha pembangunan Bagan Datuk.

“Kerajaan telah menyediakan hala tuju dan ekosistem yang sesuai, manakala penglibatan serta inisiatif sektor swasta mampu membawa masuk pelaburan, membuka aktiviti ekonomi baharu dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut diharap dapat menjadikan Bagan Datuk sebuah bandar yang berdaya huni, berdaya saing dan mempunyai identitinya sendiri.

“Insya-Allah, kita mahu melihat Bagan Datuk berkembang sebagai sebuah bandar yang berdaya huni, berdaya saing dan mempunyai identitinya sendiri, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan seluruh daerah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO