PAU 2026 Bukan Sekadar Persidangan, Angkat Suara Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bukan sekadar sebuah persidangan tahunan parti, sebaliknya menjadi medan penting untuk menyatukan kekuatan, memperkukuh organisasi serta membina kembali harapan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Mohamad Zaini Salleh berkata, perhimpunan tersebut membawa amanah besar bukan sahaja kepada seluruh ahli UMNO, malah kepada masyarakat yang mendambakan sebuah pentadbiran yang kukuh, stabil dan mampu membawa suara rakyat ke hadapan.
“PAU 2026 bukan sekadar kita berkumpul dan bersidang. Ia adalah tempat kita membina harapan, menentukan hala tuju dan memikirkan masa depan parti serta rakyat. Apa yang dibincangkan di sini mesti akhirnya diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya gama, bangsa dan negara,” katanya.
Menurut beliau yang juga Senator Dewan Negara, kekuatan UMNO perlu terus dibina dari akar umbi kerana asas perjuangan parti bermula daripada suara ahli di peringkat cawangan sebelum dibawa ke mesyuarat bahagian dan seterusnya ke Perhimpunan Agung UMNO.

Katanya, proses tersebut membuktikan UMNO mempunyai struktur organisasi yang tersusun dan menjadi antara kekuatan utama parti sejak sekian lama.
“Kita mahu suara akar umbi terus menjadi denyut nadi UMNO. Bermula daripada cawangan, dibawa ke bahagian dan akhirnya ke Perhimpunan Agung UMNO. Inilah proses yang memastikan suara ahli tidak terputus dan perjuangan parti sentiasa berpijak kepada realiti rakyat.
“Usul yang dicetuskan dari akar umbi di peringkat cawangan dan seterusnya dibawa ke mesyuarat bahagian tentunya menjadi amanat penting kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam memastikan suara dan kehendak akar umbi terus diberi perhatian,” ujarnya.
Zaini menegaskan bahawa UMNO tidak boleh sekadar bergantung kepada kekuatan sejarah, sebaliknya perlu terus melakukan pembaharuan, memperkemas organisasi dan mendekati rakyat, khususnya generasi muda.
Ujarnya, usaha memperkukuh UMNO perlu dilakukan secara bersama dengan meletakkan kepentingan parti, bangsa, agama dan negara sebagai keutamaan.
“Kita tidak mahu UMNO hanya kuat di atas kertas. Kita mahu UMNO benar-benar kukuh di akar umbi, kuat dari segi organisasi dan kuat kerana mendapat kepercayaan rakyat.
“Kekuatan itu hanya boleh dibina apabila semua peringkat parti bergerak sebagai satu pasukan malah ia telah diterjemah melalui semangat gelombang biru dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Justeru semangat ini perlu terus menjadi arus gelombang yang menular ke negeri-negeri lain agar kemenangan dalam pilihan raya terus diraih,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan keinginan sebahagian masyarakat untuk melihat BN kembali memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negara perlu dijadikan motivasi untuk UMNO memperbaiki kelemahan dan membuktikan kemampuan parti.
“Ramai masih mengharapkan pentadbiran BN yang kukuh, stabil dan berpengalaman. Harapan itu tidak boleh kita ambil mudah. Ia mesti menjadi amanah untuk kita bekerja lebih keras, memperkukuh parti dan meyakinkan rakyat bahawa UMNO masih relevan serta mampu membawa masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO supaya menjadikan PAU 2026 sebagai titik penyatuan semula kekuatan parti, mengetepikan perbezaan serta memberi fokus kepada agenda memperkukuh organisasi dan memenangi kembali keyakinan rakyat.
“UMNO mesti kembali teguh. Bukan kerana kita mahu mempertahankan sebuah nama, tetapi kerana kita mahu memastikan perjuangan yang dibawa parti ini terus mempunyai tempat dalam hati rakyat dan terus memberi sumbangan kepada masa depan anak bangsa dan tanah air tercinta,” katanya lagi.
PAU 2026 akan berlangsung selama empat hari, bermula 9 hingga 12 September, dengan acara dimulakan menerusi taklimat Presiden UMNO, diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.
Acara kemuncak yang menghimpunkan para perwakilan UMNO dari seluruh negara pula akan berlangsung selama dua hari, iaitu pada Jumaat dan Sabtu ini. – UMNO Online
