36 Tahun Di Pentas UMNO, Semangat Tetap Membara – Ngasri Sain

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Selama 36 tahun menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Ngasri Sain menyifatkan setiap kali berdiri di pentas tersebut, semangatnya terhadap perjuangan parti sentiasa diperbaharui.

Menurutnya, pengalaman lebih tiga dekad mengendalikan PAU tidak pernah menghakis kecintaan dan harapannya untuk melihat UMNO terus bangkit sebagai sebuah parti yang kuat serta menjadi wadah perjuangan bangsa Melayu.

“Saya telah berada dalam bidang pengacaraan PAU ini selama 36 tahun dan sehingga kini masih diberi ruang sebagai pengacara. Apabila saya berdiri di perhimpunan ini, seolah-olah semuanya berlaku semalam, bukan hari ini dan ingin melihat UMNO sentiasa bangkit dan menjadi satu parti yang kuat untuk bangsa Melayu.

“UMNO telah melalui begitu banyak perubahan. Parti ini telah difitnah dari semua kalangan, bukan sahaja daripada parti pembangkang, malah ada pihak dalaman sendiri yang sudah hilang kepercayaan walaupun perjuangannya sudah lebih 80 tahun,” katanya kepada UMNO Online selepas melaksanakan sesi raptai menjelang PAU 2026, di sini.

Tambah Ngasri, perjuangan UMNO tidak seharusnya dicemari oleh sikap segelintir individu yang mengambil kesempatan sehingga akhirnya mengundang persepsi buruk dan menjadi punca kepada pelbagai fitnah terhadap parti.

“Apakah perjuangan-perjuangan UMNO semenjak ditubuhkan sehingga sekarang dengan keringat dan air mata tidak bernilai? Terdapat kalangan yang mengambil kesempatan untuk melakukan perkara-perkara yang diluar pemikiran disebabkan perangai yang gelojoh yang menyebabkan fitnah terhadap UMNO.

“Saya harap pemimpin-pemimpin yang akan datang dapat pemikiran baharu bahawa berjuang kepada bangsa, agama dan negara adalah satu amanah dan ianya bukannya satu peluang melakukan perkara-perkara yang tidak bagus.

“Tujuan kita adalah untuk agama, bangsa dan negara selepas negara ini mendapat kemerdekaan. Apabila bangsa menjadi kuat ianya secara tidak langsung sokongan akan datang sendiri dan bukannya kita mencari untuk mendapatkan pelbagai habuan serta berkelahi sesama sendiri.”

Dalam pada itu, Ngasri turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi parti yang disifatkannya berjaya membawa UMNO terus bertahan dan berada pada kedudukan ketika ini.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan tertinggi parti telah berjaya membawa parti ke tahap yang ada sekarang. Marilah semua ahli parti dan rakyat Malaysia mendoakan UMNO agar menjadi satu parti yang benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara seperti mana ianya ditubuhkan.

“Bagi mereka yang tidak ingin menerima… biarkan mereka, tapi sebagai ahli parti ‘wajib’ berdoa dan mengukuhkan semangat perpaduan ahli parti terutamnya orang-orang Melayu yang dahagakan kejayaan untuk bangsa,” ujarnya.

Untuk rekod, Ngasri merupakan bekas penyiaran dan juruhebah RTM. Beliau juga pernah menjadi pengacara televisyen serta suara latar iklan di radio dan stesen TV. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO