PAU 2026: Medan Penentu Strategi Politik Masa Hadapan

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menjadi medan untuk menentukan strategi politik parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Muizz Nasruddin berkata, perkara tersebut perlu dimuktamadkan demi kelangsungan dan masa depan parti yang dicintai ini.

“PAU yang bakal berlangsung bermula Rabu ini tidak boleh sekadar menjadi perhimpunan tahunan atau pentas sorakan tradisi. Sebaliknya, ia mesti dijadikan medan penentu (turning point) untuk menyusun semula strategi politik (re-strategising) demi kelangsungan dan masa depan parti menjelang PRN Melaka serta PRU ke-16.

“Kemenangan yang UMNO/Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan adalah isyarat jelas bahawa rakyat, terutamanya pengundi Melayu dan Bumiputera, mula kembali meletakkan kepercayaan kepada kita. Namun, kemenangan tersebut tidak seharusnya menjadikan parti berada dalam zon selesa,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, PAU juga mesti menjadi pentas untuk ‘post-mortem’ kerjasama politik sedia ada selain memperkasa gagasan Rumah Bangsa dan rejuvenasi parti.

“PAU mesti menjadi pentas berani untuk membuat ‘post-mortem’ terhadap kerjasama politik sedia ada. UMNO tidak boleh terus membiarkan parti dijadikan sasaran tembakan politik oleh mana-mana rakan gabungan yang tidak menghormati prinsip setiakawan (gentleman’s agreement).

“UMNO berpolitik atas dasar maruah dan kehormatan. Sekiranya tiada penghormatan dan keikhlasan, UMNO perlu berani menilai semula kedudukan parti menjelang PRN Melaka.

“Selain itu, UMNO mesti bersikap terbuka untuk menjadi payung penyatuan kekuatan Melayu-Islam. Ini termasuk memanfaatkan kelantangan Pergerakan Pemuda di bawah Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam mempertahankan isu 3R (Agama, Bangsa, Raja) di samping mengambil kira pandangan kritis tokoh berpengaruh seperti Khairy Jamaluddin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong penuh kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar PRU ke-16 diadakan lebih awal.

“UMNO perlu mengelakkan pendekatan ‘one-size-fits-all’. Keberkesanan BN berdiri di atas kaki sendiri seperti di Johor, mahupun kejayaan pendekatan gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan oleh Presiden di Negeri Sembilan, membuktikan bahawa strategi politik mesti disesuaikan mengikut dinamik dan acuan setempat.

“Di samping itu, saya menyokong penuh kenyataan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, agar PRU ke-16 diadakan lebih awal. Langkah ini penting bagi mengembalikan mandat yang jelas dan segar daripada rakyat, sekali gus mengukuhkan kestabilan politik serta keyakinan pelabur demi memacu ekonomi negara dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menuntut agar mengutamakan kelangsungan UMNO demi memenangi semula hati rakyat.

“Jangan kita pertaruhkan masa depan UMNO demi menjaga hati pihak yang tidak pernah menghormati kita. PAU kali ini mesti mendengarkan suara akar umbi. Perpaduan dalaman adalah perisai utama kita, dan musuh sebenar berada di luar sana, bukannya di dalam dewan ini.

“Kepimpinan tertinggi parti perlu menyusun strategi perkongsian politik secara berhati-hati, bermaruah dan sentiasa mengutamakan kelangsungan UMNO di atas segala-galanya demi memenangi semula hati rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Untuk rekod, seramai 6,401 perwakilan dijadualkan hadir bagi mewarnai perhimpunan besar parti keramat Melayu ini yang akan berlangsung dari 9 hingga 12 September.

Daripada jumlah keseluruhan perwakilan, seramai 2,922 merupakan perwakilan UMNO induk, manakala Wanita UMNO seramai 1,163, Pemuda UMNO (1,171) dan Puteri UMNO (1,145). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO