Karnival Anak Muda Melaka 2026 Perkukuh Ekosistem Anak Muda

MELAKA, 7 Sept – Lebih 70,000 pengunjung memeriahkan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama tiga hari, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan rakyat khususnya golongan muda terhadap pelbagai inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan anak muda merupakan antara asas penting dalam usaha kerajaan negeri membina Melaka yang lebih maju dan berdaya saing pada masa hadapan.

Menurut beliau, penganjuran karnival tersebut bukan sekadar menyediakan ruang hiburan, malah menjadi platform menghimpunkan pelbagai peluang dan keperluan golongan muda merangkumi pekerjaan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi, kecerdasan buatan (AI), sukan serta ruang untuk menyuarakan pandangan.

“Kalau kita mahu membina Melaka untuk masa hadapan, kita mesti mula dengan membina anak mudanya pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Konsert Jom Heboh yang berakhir hari ini.

Ab Rauf berkata, lebih membanggakan apabila acara berkenaan turut berjaya menghimpunkan lebih 15,000 anak muda dalam komuniti permotoran bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan Negeri Melaka.

Katanya, kehadiran pemimpin kerajaan bersama golongan muda membuktikan bahawa kerajaan negeri mahu mendekati rakyat dan memahami aspirasi mereka secara lebih dekat.

“Hari ini, anak muda dapat melihat sendiri bahawa pemimpin kerajaan bukan sahaja bercakap mengenai anak muda, tetapi sanggup turun, duduk dan berada bersama mereka,” katanya.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri Melaka akan terus memperkukuh ekosistem pembangunan anak muda supaya setiap golongan mempunyai ruang dan peluang untuk membina masa depan masing-masing di negeri itu.

“Kalau anak muda nak cari pekerjaan, ada. Kalau nak tahu tentang TVET, ada. Kalau minat teknologi dan AI, ada. Kalau minat sukan, ada. Kalau mahu cabaran dan mahu menyuarakan pandangan, ada ruang,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan anak muda Melaka bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan, malah turut menjadi penggerak kepada kemajuan negeri.

“Inilah ekosistem anak muda yang kita sedang bina di negeri Melaka. Ada ruang untuk berkarya, ada ruang mencari rezeki dan ada gelanggang untuk menyerlah,” katanya.

Sehubungan itu, Ab Rauf menyeru seluruh anak muda Melaka agar terus bersama-sama kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan negeri serta menggunakan peluang yang disediakan untuk meningkatkan potensi diri.

“Tenaga anda Melaka perlukan. Idea anda Melaka perlukan. Keberanian dan semangat anda juga Melaka perlukan,” katanya.

Beliau berharap momentum yang tercetus menerusi Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 dapat diteruskan melalui lebih banyak program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya generasi muda di seluruh negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO