UMNO Perkemas Penganjuran PAU 2026, Raptai Berlangsung Penuh Rapi

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Raptai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 berjalan lancar sebentar tadi, dengan pelbagai persiapan dan penelitian akhir dilakukan bagi memastikan perjalanan perhimpunan berada pada tahap terbaik.

Berlangsung di Plaza Merdeka, raptai pagi ini memfokuskan persiapan bagi upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa yang bakal diadakan pada Jumaat ini.

Diketuai Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, suasana raptai berlangsung penuh semangat apabila ia diserikan dengan perbarisan oleh Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia, Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO dan Sekolah Patriotik UMNO (SPU).

Sumali memaklumkan raptai perbarisan berkenaan merupakan acara yang diadakan seperti kelaziman pada tahun-tahun sebelumnya dan melibatkan kira-kira 50 anggota daripada setiap pasukan.

“Selepas itu, barulah kita teruskan dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa. Ini melibatkan semua Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia.

“Saya rasa semuanya akan berjalan dengan lancar dan biasanya acara ini mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja… ia bermula pada jam 8 pagi dan selepas itu, semua akan bergerak masuk ke dalam Dewan Merdeka,” katanya ketika ditemui selepas raptai berkenaan.

Untuk rekod, PAU kali ini menyaksikan kehadiran seramai 6,401 perwakilan, dengan 2,922 merupakan perwakilan UMNO induk, manakala Wanita UMNO seramai 1,163, Pemuda UMNO (1,171) dan Puteri UMNO (1,145).

Selain itu, gerai jualan membabitkan usahawan turut disediakan selain laman korporat akan beroperasi bermula 8 September selain pelbagai program lain. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO