KKR Mohon Peruntukan Khas Jurutera Daerah Naik Kepada RM300,000
JITRA, 6 Sept – Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon supaya peruntukan khas kepada setiap Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 setahun dalam Belanjawan 2027.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peningkatan itu penting bagi membolehkan JD bertindak lebih pantas menyelesaikan aduan rakyat, selain memastikan aspek keselamatan jalan raya sentiasa diberi perhatian.

Beliau berkata peruntukan khas itu yang diperkenalkan pada 2024 membolehkan JD melaksanakan kerja-kerja segera tanpa perlu melalui prosedur perolehan biasa yang mengambil masa lebih lama.
“Antara masalah yang boleh diselesaikan dengan peruntukan ini ialah melaksanakan kerja-kerja garisan jalan, longkang, pokok yang perlu dicantas, perabot jalan, isyarat serta papan tanda yang uzur.
“Kalau berlaku kemalangan dan papan tanda atau penghadang jalan rosak, kita boleh terus membaikinya dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Jurutera Daerah JKR Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.
Ahmad berkata permohonan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan menerusi dialog Belanjawan 2027 dan pihaknya berharap mendapat pertimbangan sewajarnya.
Beliau berkata peruntukan berkenaan amat penting memandangkan kos penyelenggaraan semakin meningkat, selain keadaan perabot jalan yang semakin berusia dan memerlukan kerja baik pulih serta pengecatan semula.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berharap KKR terus menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam kalangan 28 kementerian dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan nanti bagi memastikan pelbagai projek infrastruktur untuk rakyat dapat dilaksanakan.
Beliau berkata KKR menerima RM9.5 bilion peruntukan pembangunan tahun ini, termasuk bagi pembinaan dan penyelenggaraan jalan serta bangunan, selain kerja membaiki dan membina cerun serta jambatan.
“Kita berharap tahun depan bukan sahaja peruntukan kepada JD ditambah tetapi KKR dikekalkan sebagai kementerian yang menerima peruntukan pembangunan terbesar kerana masih banyak projek pembangunan untuk rakyat perlu dilaksanakan,” katanya – BERNAMA
