LIMA: Lokasi Alternatif Tampung Penyertaan Lebih Besar, Pastikan Kekal Kompetitif – Khaled

KOTA TINGGI, 5 Sept – Cadangan mencari lokasi alternatif bagi penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada masa hadapan dibuat bagi memastikan acara itu kekal kompetitif susulan persaingan sengit pameran pertahanan di rantau ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia perlu sentiasa melakukan penambahbaikan termasuk dari segi keluasan kawasan dan kemudahan penganjuran, terutama apabila semakin banyak negara jiran turut menganjurkan pameran pertahanan.

“Persaingan untuk penganjuran itu sangat kuat. Kalau kita tidak tingkatkan kemudahan, keluasan kawasan dan sebagainya, ramai mungkin tidak akan menyertainya.

“Indonesia, Vietnam, Thailand, semua buat. Atas sebab itu kita kena sentiasa lakukan penambahbaikan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 172 penerima di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan keperluan memindahkan LIMA dari Langkawi memandangkan acara itu telah menjadi jenama yang dikenali di peringkat antarabangsa.

Dr Mahathir dilapor berkata sekiranya kemudahan sedia ada di Langkawi tidak lagi mampu menampung keperluan pameran yang semakin besar, kerajaan perlu melihat pilihan lain bagi memastikan penyertaan pemain industri antarabangsa tidak terjejas.

Ia susulan kenyataan Mohamed Khaled sebelum ini bahawa kerajaan bercadang meneroka alternatif untuk menganjurkan LIMA di Melaka pada masa hadapan.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata kerajaan perlu mengambil kira perkembangan industri pameran pertahanan di negara sekitar yang kini menawarkan kemudahan dan ruang pameran lebih luas.

“Kalau misalnya di Langkawi itu telah terlalu kecil, maka kita kena cari (alternatif). Kalau tidak, memang penyertaan akan kurang daripada yang kita harapkan.

“Sebab itu saya beri bayangan satu kawasan yang boleh menampung lebih besar dan memudahkan orang datang,” katanya.

Beliau berkata kawasan Klebang di Melaka merupakan antara lokasi yang boleh dipertimbangkan, namun pelaburan besar diperlukan untuk menyediakan pusat konvensyen dan kawasan pameran yang sesuai.

Mohamed Khaled turut memberi contoh penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara yang berdepan kekangan ruang, khususnya untuk mempamerkan aset dan kenderaan pertahanan bersaiz besar.

Beliau berkata pameran pertahanan antarabangsa di beberapa negara seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mempunyai kawasan pameran luas dalam satu aras, selain ruang terbuka untuk mempamerkan pelbagai aset pertahanan.

Ditanya sama ada nama LIMA akan dikekalkan sekiranya pameran itu berpindah lokasi, Mohamed Khaled berkata perkara berkenaan masih terlalu awal untuk diputuskan.- BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO