UMNO N. Sembilan Bergerak Seiring Kerajaan Negeri, Fokus Kesejahteraan Rakyat
SEREMBAN, 5 Sept — Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan (BPUNS) akan bergerak seiring dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda dan inisiatif yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan’ mula dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
Menerusi satu kenyataan media di sini hari ini BPUNS, berkata perkara sedemikian diputuskan dalam mesyuarat perhubungan yang berlangsung pada semalam, dengan fokus utama kerajaan negeri ketika ini meliputi soal kesejahteraan dan kebajikan rakyat, pemantapan ekonomi negeri, persediaan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 serta penyelesaian isu-isu berbangkit daripada pentadbiran terdahulu.

Dalam pada itu, BPUNS merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Ismail Lasim atas pelantikan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan serta tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Seterusnya, ucapan tahniah turut dizahirkan kepada Datuk Seri Dr. Awaludin Said atas pelantikan semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan yang sama, BPUNS turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dokongan dan sokongan yang diberikan kepada UMNO Negeri Sembilan sehingga mencetuskan ‘Gelombang Biru’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Penghargaan sama turut diberikan kepada seluruh kepimpinan UMNO Bahagian dan Cawangan, jentera UMNO negeri-negeri angkat serta semua pihak termasuk pimpinan, jentera dan pendokong Perikatan Nasional (PN) yang telah bekerja keras dan menjalinkan kerjasama sepanjang PRN berlangsung ,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, BPUNS juga menggesa supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan segera bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan adat di Negeri Sembilan secara harmoni serta mengikut tatacara adat yang sebenar.
“Langkah itu penting bagi mengelakkan ketidaktentuan dan salah faham berterusan dalam kalangan rakyat berhubung perkara berkaitan adat di negeri berkenaan,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan yang berkaitan, BPUNS memaklumkan seramai 268 perwakilan akan mewakili UMNO Negeri Sembilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 12 September ini di WTC Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, 122 merupakan perwakilan bahagian, 49 Wanita, 48 Pemuda dan 48 Puteri, manakala lima wakil UMNO Negeri Sembilan akan menjadi pembahas pada perhimpunan kali ini.
Datuk Mohamad Isam Mohd Isa menjadi wakil pembahas negeri dan Mohd Fadil Md. Zin (wakil Pemuda) di Perhimpunan Agung UMNO, S Lieza Md Yasin di Perhimpunan Agung Wanita, Mohd Safbary Zal Abd. Manaf di Perhimpunan Agung Pemuda dan Norliyana Sa-Fain di Perhimpunan Agung Puteri.
BPUNS pada mesyuarat itu turut mengumumkan beberapa pertukaran pentadbiran, termasuk pelantikan Muhammad Sufian Maradzi sebagai Ketua Penerangan, Mohd Nazari Mohd Dakir sebagai Setiausaha Kerja dan Encik Mohamad Sulaiman Misran@Misron sebagai Penolong Setiausaha Kerja. – UMNO ONLINE
