PAU 2026 Bukan Pentas Retorik, Buktikan Hala Tuju – Saifullah Ali
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 tidak boleh menjadi pentas untuk mengulang skrip lama, sebaliknya mesti menjadi medan paling tegas untuk menentukan hala tuju parti, memperjelas aspirasi perjuangan serta menjawab persoalan besar yang selama ini berlegar dalam kalangan akar umbi.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Saifullah Ali berkata, sudah sampai masanya UMNO berhenti bergerak dalam keadaan samar dan berani menetapkan dengan jelas ke mana parti mahu dibawa.
Ujarnya, akar umbi parti tidak mahu lagi mendengar janji yang hanya gah di pentas tetapi tidak diterjemahkan dalam gerak kerja selepas perhimpunan berakhir.
“PAU 2026 perlu ada hala tuju parti dan aspirasi terhadap akar umbi. Kita tidak mahu PAU sekadar menjadi acara tahunan, berkumpul, berucap dan kemudian pulang tanpa perubahan yang jelas.
“Kalau setiap tahun bercakap tentang kebangkitan UMNO tetapi masalah yang sama terus berulang. Kita perlu berani bertanya apa sebenarnya yang sudah dipelajari selama ini.
“Sekiranya gagal menetapkan hala tuju sekarang, jangan terkejut akar umbi sendiri akan mula bertanya, untuk apa mereka terus berjuang jika parti tidak tahu ke mana hendak pergi,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Saifullah, UMNO tidak boleh terus bersembunyi di sebalik alasan bahawa keadaan politik berubah sedangkan parti sendiri enggan berubah mengikut tuntutan zaman.
“Realitinya mudah… dunia berubah, pengundi berubah, generasi berubah dan cara rakyat menilai parti juga berubah. Kalau UMNO masih menggunakan pendekatan yang sama tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza, itu bukan strategi… itu menipu diri sendiri.
“PAU 2026 mesti berani memecahkan budaya selesa. Kita perlukan keputusan, bukan sekadar resolusi. Kita perlukan tindakan, bukan sekadar slogan. Kita perlukan keberanian, bukan pelbagai alasan,” jelasnya.
Seterusnya kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh itu lagi, PAU 2026 harus menjadi titik muhasabah dan titik perubahan, bukan sekadar satu lagi catatan dalam kalendar politik UMNO.
“PAU kali ini mesti menjadi amaran kepada kita semua. UMNO tidak boleh hidup atas nostalgia. UMNO mesti hidup atas keberanian untuk berubah, kekuatan untuk mendengar dan ketegasan untuk menentukan masa depan.
“Kalau kita benar-benar mahu UMNO kembali kuat, maka PAU 2026 mesti berani menentukan arah. Jangan lagi sekadar bercakap tentang masa depan tetapi harus membinanya,” tegasnya. – UMNO Online
