PAU 2026 Bukan Sekadar Pertahan Parti, Medan Cipta Sejarah Baharu

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bukan sekadar medan persidangan, sebaliknya menjadi ruang penting untuk seluruh keluarga besar parti menyatukan hati, memperkukuh perjuangan dan menentukan arah masa depan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kekuatan UMNO bergantung kepada keberanian pemimpin membuat keputusan, keikhlasan perwakilan menyuarakan suara akar umbi serta kesediaan seluruh ahli untuk kembali bekerja sebagai satu pasukan.

Menurut beliau, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan kerana apa yang lebih penting ialah memastikan seluruh anggota parti kekal bersatu dalam perjuangan.

“Kita mungkin berbeza pandangan, tetapi jangan sampai berbeza perjuangan. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan berpecah-belah kerana kepentingan peribadi,” katanya kepada UMNO Online

Awang Aslee menegaskan, kepentingan parti, bangsa, agama, rakyat dan negara perlu sentiasa diletakkan mengatasi kepentingan peribadi bagi memastikan UMNO kembali mendapat kekuatan serta keyakinan rakyat.

Beliau berkata, sudah tiba masanya UMNO tidak terlalu lama menoleh kepada kelemahan masa lalu, sebaliknya menjadikan sejarah sebagai pengajaran untuk memperbaiki kesilapan dan membina keyakinan baharu.

“Perjuangan UMNO mesti diterjemahkan melalui kerja, khidmat dan keberanian untuk memperjuangkan nasib rakyat. Kita belajar daripada sejarah, kita perbaiki kesilapan dan kita bina keyakinan baharu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli UMNO supaya memainkan peranan masing-masing dengan penuh amanah demi memastikan parti terus relevan serta mempunyai masa depan yang kukuh.

“Kepada para pemimpin, pimpinlah dengan keberanian. Kepada para perwakilan, bersuaralah dengan keikhlasan. Kepada seluruh ahli, teruslah setia dan bekerja,” katanya.

Awang Aslee turut menegaskan bahawa UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada sejarah kegemilangannya, sebaliknya perlu berani mencipta lembaran baharu yang mampu membawa parti kembali diyakini rakyat.

“Jangan hanya mempertahankan sejarah UMNO, kita mesti mencipta sejarah baharu. Bersatu dalam perjuangan, setia pada amanah, berani melakukan perubahan dan terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu bangkit dengan wajah, semangat dan kekuatan baharu tanpa melupakan akar perjuangannya.

“Jika kita bersatu, Insya-Allah kita mampu mengembalikan keyakinan rakyat dan mengangkat kembali maruah perjuangan kita. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat iaitu demi UMNO, demi rakyat dan demi masa depan Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO