Peremajaan UMNO Angkat Potensi Anak Muda Ke Peranan Lebih Besar

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi menyifatkan parti pada ketika ini dalam proses agenda peremajaan parti dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa golongan muda.

Beliau berkata usaha tersebut termasuk memberikan kepercayaan kepada golongan tersebut untuk memegang peranan yang lebih besar dalam institusi.

“Kita dalam proses meremajakan parti… bukan sekadar anak muda bersama kita namun juga meraikan anak muda yang berada dalam sistem parti, bukan sekadar meletakkan mereka di bahagian cawangan, memberi peluang bercakap di PAU dan sebagainya

“Tetapi juga membuktikan dengan kita merai dan mengangkat mereka contohnya sebagai calon, wakil rakyat, berada di kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kerana pada akhirnya orang-orang muda ini juga yang boleh membantu untuk memberikan kelansungan idea-idea.

“Sekaligus juga memberikan semula sumbangan kembali kepada rakyat. Sebab itu apabila bercakap rejuvenasi parti… ya benar ia sedang berlaku namun lagi 30 peratus adalah memastikan rakyat boleh melihat UMNO ini dihadapannya adalah orang muda.

“Kalau hendak memastikan orang melihat UMNO sebagai parti yang diremajakan, caranya adalah dengan memberi kepercayaan kepada anak muda kerana sebelum ini orang melihat kita sebagai parti tua,” katanya.

Shamellya berkata demikian ketika Podcast #HitamPutihKelabu PAU Ke-80 : Puteri 25 Tahun – Dari Pelengkap Kepada Penggerak yang disiarkan di Facebook UMNO Online.

Sementara itu, beliau menyifatkan Puteri UMNO mempunyai potensi besar untuk diketengahkan bagi memainkan peranan lebih besar dalam parti.

Katanya lagi, potensi tersebut perlu diberikan ruang dan kepercayaan bagi membolehkan mereka membuktikan kemampuan.

“Saya yakin Puteri UMNO ada banyak bakat namun sama ada ia diberikan peluang atau tidak.

“Kerana secara realitinya jika dilihat di luar sana anak muda yang menentukan hala tuju negara sekarang malah di setiap Parlimen mempunyai lebih 50 ke 60 peratus anak muda yang mengundi.

“Malah anak muda ini mahu muka baharu, yang boleh buat kerja, agresif di sosial media, mampu memahami cara serta kehendak mereka… orang itulah yang mereka akan undi,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO